Wednesday 7 December 2011

Dari mata turun ke hati, dari senyum dan salam datangnya sayang.

“Antara tanda-tanda kecil hari kiamat ialah berlakunya suasana menyampaikan salam kepada orang yang dikenalinya sahaja”, riwayat Ahmad.

Isu memberi dan menjawab salam merupakan isu yang sering diperkatakan dalam masyarakat. Malahan pelbagai inisiatif juga dijalankan agar budaya memberi dan menjawab salam dalam kalangan umat Islam sentiasa dihidupkan. Usaha yang baik apabila ada sesetengah pihak yang mula melatih generasi pada hari ini untuk sentiasa menyebarkan salam seawal dibangku sekolah rendah lagi. Namun, nilai murni dan perilaku ini semakin lama semakin terhakis seiring dengan perkembangan dunia moden dan peralihan masa.

Konsep penyebaran salam sesama muslim bagaikan kian dipinggirkan. Mungkin amalan ini masih wujud tetapi lihat pula siapa sasaran salam yang diberikan. Kebanyakan antara umat Islam hari ini hanya memberikan salam kepada individu yang dikenali sahaja. Kepada rakan-rakan yang terdekat, guru-guru ataupun pensyarah-pensyarah yang mengajarnya  dan individu-individu yang sealiran fahaman dengannya sahaja. Jika diperhatikan amalan ini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, kita juga sering dikaitkan dengan isu perpaduan umat Islam yang semakin hari semakin longgar. Jika dikaji semula, isu penyatuan umat Islam ini harus dimulakan dengan senyum dan salam. Dengan senyuman akan terbina tautan hati antara satu individu dengan individu yang lain dan akan memungkinkan kewujudan satu ikatan persaudaraan yang kukuh antara sesama muslim. Begitu hebatnya penangan sebuah senyuman. Bukankah senyum itu juga merupakan satu sedekah yang paling mudah. Tidak memerlukan sebarang modal. Senyuman juga boleh mengubah emosi dan persepsi individu kepada individu yang lain.  Jadi, senyumlah!

Tapi sayangnya, dua konsep ini kurang mendapat perhatian dalam masyarakat hari ini. Tidak perlu memandang ke arah yang jauh, cukup sekadar melihat keadaan di sekeliling kita. Seberapa banyakkah salam yang telah diucapkan tatkala kita berselisih dengan saudara seislam kita. Berapa kuntum senyuman yang telah kita hadiahkan untuk sahabat-sahabat kita agar ikatan persaudaraan sesama Islam terasa lebih erat. Jika tunjang utama dalam agama adalah solat, maka ikatan persaudaraan yang kukuh berpaksikan kepada dua elemen yang sangat penting ini. Jangan sesekali dipandang remeh.  Kesepaduan umaah akan mudah terbentuk dan menjadi lebih kukuh sekiranya perkara seumpama ini diserapkan ke dalam jiwa setiap individu Islam bukan sahaja di Malaysia malah masyarakat Muslim di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment