Sunday 11 December 2011

muslimah vs cinta monyet

"lembutmu tak bererti
kau mudah dijual beli
kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
lembut bukan hiasan
bukan jua kebanggaan
tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati..."


Antara bait lagu nasyid, Hijjaz yang sering memberikan impak yang berkesan terhadap lagu-lagu dakwah yang disampaikan. Begitu juga dengan lagu "Puteriku Sayang" yang pernah popular sekitar awal tahun 2000. Nyata, lagu ini memberi mesej yang sangat berguna kepada kita khususnya puteri-puteri sanjungan agama yang bakal menjadi anak, menantu, ibu dan isteri yang solehah.


Namun, apa yang saya ingin ketengahkan disini bukanlah soal lagu nasyid pilihan mahupun kumpulan Hijjaz yang sudah tidak perlu dinafikan tahap popularitinya, tetapi soal maruah wanita pada hari ini. Tidak perlu memandang jauh, cukuplah sekadar memerhatikan wanita-wanita yang berada disekeliling kita. Dari situ, mungkin kita akan lebih jelas tentang isu ini.


Zaman kampus memperlihatkan banyak terjadinya cinta monyet dalam kalangan pelajar. Tidak terkecuali para pelajar yang terdiri daripada pelajar Pengajian Islam sendiri. Cinta monyet kadang kala dilihat sebagai satu kebanggaan bagi mereka. Tidak kurang juga bagi sesiapa yang belum berpunya, mahu mencari agar dapat merasa nikmat cinta monyet itu. Hakikatnya satu perkara yang perlu kita sedari, cinta monyetlah yang telah  menghanyutkan muslimah-muslimah kita pada hari ini. Lihat saja di mana-mana laman sosial, ada saja cerita terbaru yang diwar-warkan ke seluruh dunia tentang cinta mereka. Dan jika diperhatikan, golongan manakah yang sering melakukannya? Perlu diakui, memang kaum Hawa yang mendominasi. 


Lupakan sebentar tentang laman sosial, kita ke alam realiti pula. Bila namanya cinta monyet, tidak sah jika tiada temu janji atau lebih popular dengan panggilan "dating". Zaman moden ini, dating merupakan perkara biasa. Lebih-lebih lagi apabila berjauhan dengan ibu dan bapa. Kesempatan diambil untuk bebas melakukan apa saja. Demi cinta, segalanya sanggup diketepikan. Jadi, tidak hairanlah bila ada juga remaja perempuan Melayu malahan ada juga yang bergelar ustazah sanggup "bertukar imej" demi sang kekasih. Apa yang membuatkan ramai remaja Islam terus hanyut dengan mudah sedangkan firman Allah s.w.t  dalam surah An-Nur ayat 26 telah sempurna menerangkan kebenarannya. 


 “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”

Oleh itu, kembalilah kepada fitrah wahai saudara-saudaraku. Jadilah epal yang berbuah diatas pohon yang tinggi. Jika kau menggugurkan diri, nescaya tidak akan terpelihara keelokan rupamu lagi. Kekallah engkau di atas. Tidak ada sesiapa yang boleh menggapaimu melainkan seorang lelaki yang benar-benar layak memetikmu. 







No comments:

Post a Comment