Sunday 26 February 2012

al-kisahnya Running Man

Assalamualaikum w.b.t..

Dah lama tak mengarut2 sorang2 kat sini. Busy der. Thesis kah?? Bukan, busy tgk Running Man! hahahaha.. Tau tak Running Man tu apa? Citer ala2 gameshow versi Korea. [bukan ala2 lg, dah memang gameshow pun!] Dulu, memang tak pernah tertarik dgn citer ni. Kalau dok sembang2 dgn member2 esp. lepak dgn ex-KIZ members, diorang akan citer pasal ni. Mula2 ingatkan Running Man ni korean drama ke apa. Yelah, kalau korean drama nk gak menengoknya. Maklumlah,saya adalah peminat tegar citer2 korea. Citer lawak pun boleh nangis. Hati tisu sgt!hahahaha. Tapi bila diorang ckp Running Man ni gameshow, so terus mcm malas nk layan. Yelah, dulu2 pernah tak tgk citer Happy Hour kat TV2? Tak tau lah sekarang ada lg ke tak. Saya rasa tu lah gameshow yg sy tak boleh terima sekali dlm hidup. Saya tak tahulah orang lain, tapi saya tgk game dlm citer tu mcm ntah apa-apa a.k.a merepeksssss. [suka hati je mngutuk program orang! :p]

Member kolej saya yg memperkenalkan Running Man ni kat saya. Satu hari dia bercerita kat saya psl citer ni & ttbe saya kata saya nak tgk sendiri citer ni sebab boleh kata dari 10 kwn saya, 9 1/2 drpd mereka mengatakan YA KEPADA RUNNING MAN! So, saya nak tgk sendiri lah. 1st episod mmg agak tak faham apa2. Jenuh la kwn saya tu nak menerangkan setiap karakter yg ada. Disebabkan pemain dalam gameshow tu ramai, so, boleh kata setiap minit saya akan tanya siapa nama setiap seorang. Hahaha.. ramai sangat yg main, jd lupa lah! Tapi, nama pertama yg saya ingat ialah Song Joong Ki. Kenapa saya ingat nama dia? Sebab dia cute! Ngeh3 ;)

* tadaaaaaaaaaaaaa....lihatlah, betapa cutenye beliau!! ala tomey-tomey~~~ ;)

Seriously, citer ni sangat lah best! Bukan citer, tapi gameshow. Saya boleh tgk gameshow ni sampai gelak terbaring2! Boleh la nk buat hilang stress. Hahaha. Betul, tak tipu punyeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee..~~ ;)

* Running Man!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


p/s : Thanx to Yasmin (ex-KIZ) sebab selalu bercerita tanpa jemu tentang Running Man. Dan tak lupa kepada Nik Farida yg sudi menjadi supplier Running Man saya! ;)))

Tuesday 14 February 2012

CERPEN : Istikharah Cinta


DARI jauh, Rayyan asyik memerhatikan sekumpulan pelajar wanita yang sedang membuat perbincangan. Antara mereka, ada yang berjaya menambat hati lelaki itu. Safiyya, gadis yang terkenal bukan sahaja kerana kecantikan paras rupa tetapi juga kepintarannnya yang sentiasa mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Selain itu, sikap Safiyya yang sangat menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan juga menjadikan dia sebagai ikon bagi segelintir pelajar.

                “ Asyik tenung je, memang tak ke mana lah,” sapa Mahfuz, rakan sekuliah Rayyan. Dari tadi dia memerhatikan tingkah laku sahabatnya itu. Ternyata, pandangan mata sahabatnya langsung tidak beralih dari memandang gadis itu.

                “ Tenung je lah yang aku mampu, Mahfuz. Nak buat apa lagi?” jawab Rayyan. Tawa kecil kedengaran di hujung bicaranya. Sebenarnya dia malu apabila Mahfuz menegurnya. Nampak sangatlah yang dia sebenarnya asyik memandang gadis itu sehingga tidak sedar apa yang berlaku disekelilingnya.

                “ Safiyya tu budak baik, Rayyan. Beruntung siapa dapat dia kan?” kata Mahfuz lagi. Rayyan hanya tersenyum mengiyakan kata temannya. Memang benar, beruntung mana-mana lelaki yang dapat memiliki hati gadis sesolehah Safiyya.

                “ Rayyan, Prof. Idris nak jumpa kau. Katanya ada hal,” ujar Ammar yang entah dari mana muncul. Dia yang menggalas beg sandang dan membawa beberapa buku, mungkin baru selesai kelas.

                “ Nak jumpa aku? Kenapa?” soal Rayyan. Ammar sekadar mengangkat bahu.

                “ Pergilah, Rayyan. Aku tengok kau kat sini pun tak boleh buat kerja. Asyik tenung anak orang je,” sampuk Mahfuz, mengusik. Matanya tidak ralit memandang komputer riba dihadapannya.

                “ Anak orang? Haa...ada gosip ni!” ujar Ammar pula. Wajahnya teruja ingin tahu apa yang berlaku disitu sebenarnya.

                “ Kau ni Ammar, pantang tau. Macam wartawan Melodi,” jawab Rayyan.

                “ Kata exco publisiti persatuan fakulti. Kenalah cari cerita-cerita hot kan? Lagipun aku dengar budak-budak junior ada yang cakap muka kau iras-iras Remy Ishak. Aku nak tengok jugalah iras kat belah mana,” usik Ammar.

                “ Iras-iras Remy Ishak? Selama ni aku berkawan dengan artis rupanya. Macam mana aku boleh tak perasan ni?” Mahfuz menambah menggamatkan suasana.

                “ Banyaklah kau. Ada ke patut samakan aku dengan Remy Ishak. Sah-sah aku lagi macho dari dia,” ujar Rayyan, tidak mahu mengalah.

                “ Ewahhh, ada hati nak mengurat Tiz Zaqyah lah tu!” kata Ammar. Sememangnya antara mereka bertiga, Ammarlah yang paling kuat menyakat.

                “ Dah lah. Kalau melayan korang sampai esok pun tak habis. Aku pergi jumpa prof dulu,” Rayyan tidak mahu terus melayan kerenah sahabat-sahabatnya. Jika dilayan, entah bila akan berhenti.

***

“ PIHAK fakulti ingin mengadakan satu program untuk mahasiswa. Salah satunya forum remaja. Saya melantik awak untuk menjadi ketua pengarah bagi program ini,” Prof. Idris memberi arahan.

                “ Boleh saya tengok senarai ahli jawatankuasa saya, prof?” pinta Rayyan. Prof. Idris menghulurkan fail yang berisi senarai nama ahli jawatankuasa program. Pantas Rayyan menyambutnya.

                Satu persatu nama diteliti. Tiba-tiba matanya tertangkap pada nama ‘Safiyya Humaira’ yang bertindak sebagai setiausahanya. Dia sedikit tersenyum. Wajah pemilik nama itu terbayang di mindanya.

                “ Saya harap program ini akan berjalan lancar. Kalau ada masalah, awak terus hubungi saya. Saya harap tanggungjawab ini tak mengganggu pelajaran awak,” ujar Prof. Idris.

                “ InsyaAllah, Prof. Saya akan lakukannya dengan baik,” jawab Rayyan, yakin. Sebagai pelajar tahun akhir, dia perlu lebih fokus dengan pelajarannya. Namun dia yakin, dengan adanya Safiyyah bersama dengannya, dia berharap segalanya akan berjalan lebih lancar.

***
“ SETIAUSAHA program pula? Safiyya ni tak reti rehat ke? Asyik sibuk dengan program je,” rungut Zahidah, rakan sekuliah dan juga rakan sebilik Safiyya yang lebih tua setahun daripada Safiyya. Mereka merupakan dua orang sahabat yang sangat akrab.

                “ Dah tanggungjawab, kak. Nak buat macam mana?” jawab Safiyya, tenang. Dia sibuk menaip tugasan di komputer ribanya.

                “ Tak boleh tolak ke? Kalau masuk yang ini, ini program ke empat tau Safiyya sibuk dengan program besar. Akak takut pelajaran Safiyya terganggu,”

                “ InsyaAllah, tak kak. Setakat ni alhamdulillah assignment saya siap. Cuma lambat hantar sehari dua je. Tapi itu pun lepas aku maklumkan pada pensyarah tentang kesibukan saya dan alhamdulillah semuanya faham,” ujar Safiyya.

                “ Safiyya ni, kalau akak bercakap, ada je jawapanya. Eh, siapa ketua pengarah program ni?”

                “ Rayyan Hakimi,”

                “ Rayyan Hakimi? Rayyan yang Safiyya pernah cerita pada akak tu?”. Safiyya hanya mengangguk. Bibirnya juga mengukir senyuman.

                “ Patut lah,” jawab Zahidah. Kini dia pula tersenyum nakal.

    “Akak doakan program ni berjaya. Tapi ingat Safiyya. Jangan sampai pelajaran terganggu tau. Ini semester terakhir kita,” nasihat Zahidah.

                “ InsyaAllah, kak,”

***

MESYUARAT demi mesyuarat dilakukan demi memastikan perjalan program yang bakal dilaksanakan berjalan lancar. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Rayyan sendiri itu turut mempelihatkan kehadian Mahfuz dan Ammar sebagai sebahagian daripada ahli jawatankuasa.

                Selesai mesyuarat, masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing. Safiyya dan Farhana, teman sekuliahnya yang juga memegang jawatan di bahagian pemasaran melangkah menuju keluar dari bilik mesyuarat. Namun, satu suara memanggil nama Safiyya membuatkan gadis itu kembali semula.

                “ Saya nak minta awak siapkan surat-surat yang perlu untuk melancarkan kerja kita,” ujar Rayyan. Pandangannya dihalakan ke tempat lain bagi menjaga pandangan antara mereka.

                “ Okey. Ada apa-apa lagi yang perlu saya buat?” soal Safiyya. Lengan Farhana dipaut agar Farhana tidak meninggalkan mereka berdua disitu. Bimbang akan timbulnya fitnah antara mereka.

                “ Minit mesyuarat tadi saya minta awak taip semula. Saya nak tengok dan failkan dalam fail program,” arah Rayyan lagi.

                “ Baiklah. Ada apa-apa lagi?”

                “ Itu saja. Awak boleh pergi. Terima kasih Safiyya,” ujar Rayyan. Safiyya menjawab dan terus berlalu.

                Setelah Safiyya berlalu, baru dia berani mengangkat wajahnya. Jantungnya berdegup sangat kencang apabila berhadapan dengan gadis itu tadi.

                “ Bukan main pucat lagi nak bercakap dengan Safiyya. Nasib baik tak gugur jantung tu,” usik Mahfuz yang berdiri ditempat Safiya berdiri tadi. Ammar juga berada disitu. Rayyan memandang dan hanya tersenyum.

                “ Biasalah, Rayyan. Dah nama pun angau,” usik Ammar pula.

                “ Banyaklah korang. Tapi serius, aku rasa aku tak boleh kerja dengan dia. Hati aku rasa lain macam,” akui Rayyan. Dia berharap sahabatnya memahami apa yang sedang dia rasai ketika ini.

                “ Rayyan, ni semua ujian. Lagi-lagi pula kau memang ada hati pada Safiyya tu. Hati kau tak tenang sebab syaitan tengah bisik kat hati kau untuk buat kemungkaran. Banyakkan istighfar, Rayyan. Moga-moga hati kau tak terpesong ke arah yang salah,” nasihat Mahfuz. Dia cuba menenangkan sahabat baiknya.

                “ Memang susah nak didik hati, Rayyan. Ni semua cubaan untuk kau. Jangan risau, kitorang sentiasa ada dengan kau,” giliran Ammar pula memberikan kata-kata semangat. Rayyan tidak tahu harus berkata apa. Benar kata temannya, alangkah sukarnya mendidik hati.

***
PROGRAM yang dirancangkan hanya tinggal dua hari untuk dilaksanakan. Segala persiapan telah dilakukan sebaik yang mungkin. Kini, hanya menunggu hari berlangsungnya program. Apa lagi yang diharapkan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat selain program berjalan dengan lancar tanpa sebarang kecacatan.

                Safiyya sibuk menaip di bilik persatuan. Dia hanya bersendirian hari ini kerana  Farhana temannya yang selalu bersama dengannya menguruskan hal-hal berkaitan dengan pemasaran. Pintu bilik persatuan ditutup agar dia lebih selesa untuk melakukan tugasannya. Baginya, ada kala dia mahu melakukan kerja dalam keadaan tertutup. Jika pintu bilik terus dibuka, fokusnya sedikit sebanyak akan terganggu apabila pelajar-pelajar lain mahupun pensyarah lalu lalang di situ.

                Pintu bilik persatuan dibuka. Kelihatan Rayyan yang menjengah. Safiyya terkejut. Cepat-cepat dia membetulkan posisi kedudukannya agar lebih sopan.

                “ Opsss...maafkan saya. Saya tak perasan kasut awak kat luar ni. Ingatkan tak ada orang,” ujar Rayyan. Nada suaranya kelam kabut. Dia benar-benar meminta maaf. Entah bagaimana dia boleh terlepas pandang sandal biru kepunyaan gadis itu diluar.

                “ Err..tak apa. Awak nak masuk ke?” soal Safiyya. Jika Rayyan ingin masuk ke dalam, dia perlu keluar. Lokasi bilik persatuan agak terpencil. Jadi, dia tidak mahu ada fitnah yang terjadi antara mereka jika mereka berdua berada di dalam bilik yang sama.

                Rayyan hanya memandang Safiyya. Ketika ini jugalah dia merasakan kecantikan Safiyya terserlah. Dengan kaca mata tanpa bingkainya membuatkan penampilan gadis itu sangat menawan di mata Rayyan.

                “ Masuk je lah. Bukan ada orang pun. Bila lagi kau nak duduk berdua dengan dia?”. Satu suara bagaikan berbisik ke telinga Rayyan. Godaan syaitan tidak putus-putus menduga Rayyan. Ketika ini hanya iman yang dapat menjadi penyelamat. Jika kuat imannya, maka dapatlah Rayyan menangkis setiap godaan yang tiba. Jika sebaliknya, maka bersoraklah syaitan kerana berjaya membawa seorang lagi anak Adam ke lembah maksiat.

                “ Tak apalah. Awak siapkan kerja awak dulu. Nanti saya datang semula,” ujar Rayyan lantas berlalu dari situ. Jantungnya berdegup kencang. Dia harus akui, dia tidak boleh berhadapan dengan Safiyya. Dia dapat merasakan keganjilan dalam dirinya. Imannya jadi goyah. Dia tidak mahu terus-terusan begini. Dia tidak mahu wujudnya zina hati antara mereka dan yang lebih penting, dia tidak mahu Safiyyah juga menanggung dosa yang sama akibat perbuatannya.

***
SAFIYYA hanya duduk merenung jendela biliknya. Kelakuan Rayyan di bilik persatuan tadi kini terbayang-bayang di mindanya. Seperti dalam keadaan kelam kabut, lelaki itu meninggalkannya begitu sahaja. Tapi, bagus juga lelaki itu bertindak sedemikian. Jika tidak, terganggu segala tugasnya.

                “ Termenung ingat kat siapa ni, Safiyya?” sapa Zahidah yang baru pulang dari kuliahnya.

                “ Tak ada siapalah, kak. Saja berfikir,” ringkas jawapan Safiyya. Bibirnya mengukir senyuman manis untuk teman sebiliknya itu.

                “ Haa..fikir tentang siapa? Cuba cerita kat akak,” ujar Zahidah. Selesai menyalin pakaian dan menyusun buku-buku di atas meja belajarnya, dia duduk menghadap Safiyya.

                “ Akak, apa pendapat akak tentang lelaki yang betul-betul menjaga batas pergaulannya?” soal Safiyya.

                “ Eh, baguslah. Zaman sekarang bukan senang nak jumpa lelaki macam tu,”

                “ Salah ke kalau kita berharap untuk berjodoh dengan orang macam tu? Yelah, kita pun belum tentu layak dengan orang macam tu,” soal Safiyya lagi. Intonasi suaranya agak serius.

                “ Tak salah. Semua orang nak berjodoh dengan orang yang baik. Lebih-lebih lagi kita sebagai perempuan ni, kalau mencari biarlah yang kuat pegangan agamanya. Yelah, nak jadi imam dalam keluarga,”. Safiyya hanya diam. Tersenyum dengan jawapan Zahidah.

                “ Ni senyum-senyum ni mesti ada apa-apa. Siapa lelaki tu? Rayyan ye?” Zahidah cuba meneka. Senyuman nakal terukir dibibirnya.

                “ Akak ni, tak ada lah,” jawab Safiyya. Walaupun tepat tekaan rakan sebilknya itu, namun dia malu diusik begitu.

                “ Eleh, malu-malu pula. Akak bukannya baru kenal Safiyya. Walaupun baru sekali Safiyya bercerita tentang Rayyan tu, akak dapat rasa perasaan Safiyya pada Rayyan tu. Beruntung Rayyan,”

                “Ish, akak ni. Sampai ke situ pula,”

                “ Tak apa lah, Safiyya. Selagi termampu, kita berdoa. Kalau dia betul-betul terbaik untuk kita, mohon supaya Allah mudahkan segalanya. Kalau tak, mungkin ada hikmahnya yang kita sendiri tak tahu. Apa-apa pun, akak doakan yang terbaik untuk Safiyya,” nasihat Zahidah lagi. Dia kenal benar dengan Safiyya dan dia sentiasa berharap agar gadis secantik dan sesolehah Safiyya dipertemukan jodoh dengan orang-orang yang betul-betul layak untuknya.

***

TIBA hari yang dinantikan. Forum yang dirancang berjalan lancar sehingga ke akhir program. Sambutan dilihat sangat menggalakkan terutama sekali daripada warga kampus sendiri. Mungkin kerana faktor tajuk yang dibincangkan dan ahli-ahli panel yang dijemput dapat menarik perhatian penonton dari dalam mahupun luar kampus.

                Rayyan kelihatan begitu sibuk bersama dengan ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Begitu juga Safiyya. Sesekali Rayyan mencuri-curi pandang memerhatikan gadis itu yang sentiasa bersama dengan rakan-rakannya. Kededikasiannya terserlah. Itulah yang membuatkan hati Rayyan semakin terpaut. Namun, sejak insiden di bilik persatuan tempoh hari, mereka jarang berhubung. Rayyan meminta agar Mahfuz mahupun Ammar yang menjadi orang tengah antara mereka. Mungkin orang sekeliling akan beranggapan ini suatu keadaan yang aneh tapi dia tiada pilihan lain demi mengelakkan hatinya terus hanyut dengan bisikan-bisikan syaitan yang menggodanya untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan ditegah oleh agama.

                “ Safiyya, Rayyan minta awak siapkan laporan program secepat mungkin untuk disemak sebelum diserahkan kepada Prof. Idris. Kalau dah siap, awak tinggalkan di bilik persatuan je, nanti Rayyan akan tandatangan dan serahkan pada prof,” Ammar menyampaikan pesanan. Gadis itu hanya mengangguk faham. Matanya juga memandang sekeliling mencari tuan diri yang minta disampaikan pesanan tersebut, namun kelibatnya tidak dapat dikesan. Mungkin sibuk menguruskan hal-hal lain.

                Safiyya terfikir sesuatu. Mengapa sampai begitu sekali Rayyan mengelakkan diri daripadanya. Adakah dia telah melakukan kesilapan sehingga langsung lelaki itu tidak mahu berjumpa dengannya? Dia faham dengan sikap Rayyan yang sangat menjaga batas pergaulan tapi pernah juga dia terlihat Rayyan berurusan dengan ahli jawatankuasa perempuan yang lain. Dia semakin bingung. Jika ada salah dan silap, biarlah dia ditegur dengan cara yang baik, bukannya terus-terusan menjauhkan diri dan menggunakan orang tengah.

***
“ SAYA betul-betul tak boleh berhadapan dengan dia, prof. Kalau saya berjumpa dengan dia, saya rasa susah untuk kawal diri saya,” ujar Rayyan. Prof. Idris mendengar dengan penuh teliti luahan hati pelajarnya itu. Rayyan nekad untuk mendapatkan nasihat pensyarah yang paling rapat dengannya bagi meluahka apa yang dirasainya. Keresahan hatinya tidak dapat dibendung lagi. Mahfuz dan Ammar lah yang menasihatinya agar berjumpa dengan seseorang yang berkelayakan untuk membantu menyelesaikan masalahnya. Jika terus dibiarkan, dibimbangi masalahnya akan bertambah berat.

                “ Habis, bagaimana awak berurusan dengan dia sepanjang program berjalan? Safiyya tu setiausaha awak kan?” soal Prof. Idris.

                “ Saya minta Mahfuz ataupun Ammar untuk menjadi orang tengah antara kami. Hanya mereka yang tahu masalah saya ni,”

                “ Rayyan, boleh awak terus terang dengan saya. Apa sebenarnya perasaan awak pada Safiyya?”

                Rayyan hanya diam. Malu rasanya untuk mengakui perasaannya yang sebenar.

                “ Tak perlu malu, Rayyan. Luahkan saja apa sebenarnya perasaan awak pada dia,” ujar Prof. Idris.

                “ Err...sa..saya...saya sukakan dia, prof,” wajahnya tiba-tiba agak kepanasan. Wajahnya kemerah-merahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal dirinya dihadapan pensyarah yang sudah hampir 15 tahun berkhidmat di universiti itu.

                “ Awak sukakan dia atas dasar apa?” soal Prof. Idris lagi.

                “ Saya boleh rasa dia seorang gadis yang baik. Kesopanan dia menarik hati saya. Saya dapat rasakan sikap yang ada pada dirinya boleh menjadikan dia seorang isteri yang baik suatu hari nanti,” jujur Rayyan.

                “ Awak berniat untuk memperisterikan Safiyya?” Prof. Idris menyoal lagi. Kali ini Rayyan mati idea untuk menjawab. Ya, siapa yang tidak mahu memperisterikan wanita seistimewa Safiyya tetapi dalam keadaan dia yang masih belajar sekarang, sukar untuk dia menjawab pertanyaan pensyarahnya itu.

                “ Rayyan, tindakan awak menjauhkan diri daripada Safiyya adalah tindakan yang bijak. Awak bimbang jika akan wujudnya keadaan yang tidak sepatutnya berlaku antara awak dan Safiyya jika awak selalu ada bersama dengannya. Paling penting, awak berjaya mempertahankan hati awak daripada bisikan-bisikan syaitan yang selalu menggoda anak-anak Adam. Saya puji sikap awak,” ujar Prof. Idris. Rayyan mendengar dengan penuh teliti. Sedikit sebanyak hatinya lapang apabila mendengar pensyarahnya berkata begitu padanya.

                “ Hukum yang telah ditetapkan dalam Islam, haram bagi mana-mana lelaki yang menyunting wanita bukan untuk dijadikan isteri. Maksudnya disini, Islam menegah perbuatan menjadikan wanita itu pasangan tetapi tidak dijadikan sebagai isteri. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan yang mengundang kepada berlakukan zina. Hal ini sama juga dengan bercinta sebelum kahwin yang menjadi trend dalam masyarakat kita sekarang. Dan jika awak masih belum bersedia untuk ke peringkat perkahwinan, nasihat saya supaya awak lupakan sebentar soal Safiyya dan tumpukan pada pelajaran awak. Awak berdua pun berada di tahun akhir. Disamping itu, awak banyakkan berdoa agar didekatkan jodoh antara awak dan Safiyya. Andainya benar dia jodoh awak, mohonlah agar segalanya dipermudahkan. Jika sampai masanya awak lamarlah dia. InsyaAllah, perkara yang baik pasti akan dipermudahkan,”. Tekun Rayyan mendengar nasihat yang diberikan. Nasihat yang sangat-sangat berguna untuk dirinya. Hatinya kini sedikit tenang. Sekurang-kurangnya kegusaran yang kian bersarang dalam hatinya hampir terlerai setelah mendengar kata-kata nasihat daripada orang yang sentiasa menjadi sanjungannya itu.

                “ Terima kasih, prof. InsyaAllah, saya akan sentiasa mengingati nasihat prof,” ujar Rayyan. Senyuman mula terukir dibibirnya.

***

SETELAH berpenat lelah berusaha, kini hari yang dinanti-nantikan oleh semua mahasiswa dan mahasiswi. Majlis istiadat konvokesyen universiti. Wajah ceria ibu bapa melihat kejayaan anak-anak jelas terpancar. Anak-anak pula kelihatan sangat gembira menghadiahkan hadiah yang sangat bernilai kepada ibu bapa masing-masing sebagai tanda mengenang jasa dan membalas budi ibu bapa yang selama ini bersusah payah memberi pendidikan sejak kecil.

                Bagi mahasiswa dan mahasiswi pula, kesempatan ini juga diambil untuk merakamkan detik-detik manis bersama rakan seperjuangan. Selepas ini, semuanya akan membawa haluan masing-masing. Ada yang sibuk menguruskan kerjaya, ada juga yang sibuk menguruskan rumahtangga.

                “ Tahniah, awak semua. Saya bangga dengan kamu,” ujar Prof. Idris ketika mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas pelajarnya. Rayyan, Ammar, Mahfuz, Safiyya, Zahidah, Farhana dan rakan-rakan mereka yang lain juga ada disitu.  Wajah masing-masing jelas menunjukkan kegembiraan.

                “ Terima kasih, prof. Semua ilmu yang prof beri kami akan kenang sampai bila-bila,” ujar Rayyan. Jika dilihat, dialah insan yang paling gembira dalam kalangan mereka. Dia menerima anugerah Naib Canselor atas kejayaannya dalam akademik mahupun ko-kurikulum.

                “ Terima kasih juga, prof. Prof betul-betul berjasa kepada kami,” ujar Ammar pula.

                “ Sama-sama. Saya hanya menyampaikan apa yang sepatutnya saya sampaikan. Kamu yang berusaha. Kamu patut bangga dengan diri kamu sendiri. Betul tak, Rayyan?” kata Prof. Idris. Rayyan hanya tersenyum.

                “ So, lepas ni, apa perancangan kamu semua? Ada yang dah berniat nak kahwin?” soal Prof. Idris. Matanya memandang Rayyan. Bibirnya tersenyum. Memang soalan itu sebenarnya ditujukan kepada pelajarnya itu. Rayyan hanya tersenyum.

                “ Rayyan??” Prof. Idris bersuara lagi. Sengaja ingin melihat reaksi bekas pelajarnya. Rayyan tertunduk malu. Tidak tahu harus berbuat apa.

Safiyyah hanya memandang lelaki yang pernah mencuri hatinya itu. Sudah lama dia tidak mendengar khabar berita tentang lelaki yang sedang berdiri dihadapannya itu. Dalam fikirannya, mungkin lelaki itu sudah mempunyai pilihan sendiri.

“ Kalau awak dah bersedia, beranikan diri, Rayyan. Siapa tahu dia memang tertulis untuk awak,” Prof. Idris terus bermain teka teki. Masing-masing terpinga-pinga dengan kata-kata Prof. Idris itu. Apa yang cuba dia sampaikan? Hanya Rayyan yang mengerti.

Kini dia harus memberanikan diri. Setelah istikharah demi istikharah dilakukan, satu jawapan yang muncul. Dan dia sangat yakin itulah petunjuk yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Rayyan berjalan mendekati Safiyyah. Gadis itu hanya memadang Rayyan. Pelik dengan sikap lelaki itu yang tiba-tiba mendekatinya. Begitu juga rakan-rakannya yang lain. Tertanya-tanya apakah yang cuba dia lakukan. Hari ini, bersaksikan pensyarah dan rakan-rakan yang lain, dia akan cuba meluahkan hasrat hatinya.

“ Safiyya, dengan nama Allah dan bersaksikan Prof. Idris dan sahabat-sahabat yang ada disini, izinkan saya melamar awak untuk menjadi permaisuri dalam hidup saya,” ujar Rayyan tenang. Safiyya terkejut. Dia berasa bagaikan kakinya tidak menyentuh bumi. Berkali-kali dia mencubit kecik lengannya agar memastikan ini bukan mimpi. Dilamar oleh lelaki yang memang menjadi pujaan hatinya sejak dulu merupakan kenangan paling manis dalam hidupnya lebih-lebih lagi ia berlaku dihari graduasinya.

Teman-teman lain juga terkejut termasuk Mahfuz dan Ammar. Tidak menyangka Rayyan akan jadi seberani ini. Namun apa yang dilakukan oleh Rayyan adalah tindakan yang harus dipuji. Setelah sekian lama ‘terseksa’ dengan perasaan sendiri, hari ini terungkap juga apa yang selalu berada dihati dan fikirannya.

“ Safiyyah, sudikah awak menjadi isteri saya?” Rayyan melamar dengan penuh berani. Matanya menatap tepat ke arah anak mata gadis dihadapannya dengan harapan cinta dan kasihnya akan berbalas. Safiyya tersenyum. Tidak tahu harus bagaimana dia menterjemahkan kegembiraannya. Dalam keadaan tenang, dia menjawab lamaran Rayyan.

“ InsyaAllah, Rayyan. Saya sudi,”.

Berakhirlah kisah penantian cinta antara mereka. Dari sepasang pasangan yang sangat malu untuk meluahkan hasrat hati, akhirnya kini mereka bahagia sebagai pasangan suami isteri. Di dalam kehidupan, walau sesukar mana sesuatu ujian, jika selalu diiringi dengan doa, insyaAllah akan dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa.

               
p/s : Adaptasi daripada cerita sebenar. Tahniah kpd akh Razin dan ukht Sumaiyah yg bakal menimang cahaya mata sulung March depan. Kembar khabarnya. Indahnya cinta selepas berkahwin.... :)

Sunday 5 February 2012

Salam Maulidur Rasul :)


Assalamualaikum..

Sabda Rasulullah s.a.w

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya.”

12 Rabiulawal adalah tarikh penting yg perlu di ingati dan diraikan oleh mereka yg mengaku bahawa mereka adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. Kalau kita boleh meraikan tarikh2 lain spt hari lahir ibu ayah kita, hari lahir kwn2 kita, hari lahir suami/isteri kita dan apa2 anniversary dlm hidup kita, kenapa kita tak boleh meaikan tarikh lahir insan yg paling berjasa bkn sahaja dlm hidup kita tapi paling berjasa dalam sejarah ketamadunan Islam. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan baginda kepada umat baginda. Tetapi kat sini saya tekankan tiga sebab yg mudah utk difahami kenapa kita WAJIB mengenang Rasulullah s.a.w sebagai insan mulia lagi agung dan paling berjasa dalam hidup kita.

  •  Pertama, nabi sangat banyak jasa kepada kita, jasa nabi bukan sembarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar.
  • Kedua, kerana nabi terlalu cinta kepada kita. Apa bukti nabi sangat cinta pada kita? Bacalah sejarah, sebelum nabi wafat, antara perkataan akhir nabi ialah “ummati, ummati” (umatku, umatku) umat nabi itu kitalah. Menurut satu riwayat lain, ketika nabi dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak antara perkataan pertama nabi tanya kepada malaikat Jibril ialah “Di mana umatku?”
  • Ketiga, baginda sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita. Contoh paling mudah, peristiwa baginda memohon kepada Allah agar solat fardhu dipendekkan daripada 50 waktu kepada 5 waktu sehari semalam.


Lihat sahaja betapa besarnya pengorbanan nabi kepada kita. Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh baginda semata-mata demi umatnya sehingga baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka. Tapi kenapa masih ramai yg enggan mengakui Islam dan enggan mengikut sunnah baginda? Tepuk dada, tanya iman.



...SESUNGGUHNYA RASULULLAH S.A.W IKUTAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN...


Friday 3 February 2012

CERPEN : Jangan Tunggu Lama-lama



“KAU usha siapa, Fal?” soal Hazziq. Sejak tadi Naufal, rakan baiknya itu memerhatikan sekumpulan pelajar-pelajar perempuan yang duduk di pondok yang bertentangan dengan pondok mereka.

                “ Mana ada aku usha sesiapa. Kan aku tengah buat revision ni,” ujar Naufal cuba 
menyembunyikan kebenaran. Padahal memang tepat tekaan sahabatnya tadi. Naufal asyik memerhatikan kumpulan pelajar yang terdiri daripada tida orang gadis itu.

                “ Yelah tu buat revision. Mata aku tengok tadi asyik mengusha awek je. Buku pun terbalik. Buat revision apa nya?” balas Haziq. Naufal memerhatikan bukunya. Benar, terbalik keadaan bukunya. Benar kata orang, jika kita terlalu ralit memandang sesuatu, kadang kala segala tindak tanduk kita berada diluar kawalan.

                “ Sah! Budak Naufal ni berangan. Tidak syak lagi!” sampuk Fitri pula yang sedari tadi memerhatikan gelagat dua orang sahabatnya itu.

                “ Berangan sambil mengusha awek. Pak romeo dah mula jalankan operasi!” Haziq menambah. Dia dan Fitri sama-sama ketawa.

                “ Kau berkenan dekat yang mana satu, Fal? Bagitahu kat kitorang. Nanti kitorang adjust untuk kau,” Fitri masih lagi terus mengusik. Haziq terus ketawa. Tawanya tidak dapat ditahan melihat sahabat lamanya itu terus di‘bahan’. Wajah Naufal berubah kemerah-merahan, malu di diusik begitu.

                “ Dah. Pandai je korang cari modal nak bahan aku ye! Dah..dah. Study,” ujar Naufal yang semakin malas melayan dua orang sahabatnya yang ‘pelik’ itu.

                Naufal dan Haziq sudah berkawan baik sejak di zaman sekolah. Mereka merupakan sahabat yang sangat rapat. Mungkin kerana tempat asal mereka juga hampir antara satu sama lain. Fitri pula adalah kawan sefakulti Naufal yang memang sekepala dengan mereka. Jadi tidak hairanlah jikan mereka dilihat seperti adik-beradik yang sangat rapat bila bersama.

***
AMNA merenung titis-titis air hujan yang jatuh dari bumbung biliknya. Merenung sesuatu yang mengasyikkan seperti itu seolah-olah memberi ketenangan.

                “ Ni tak ada lain, berangan ingat boyfriend lama lah tu,” tegur Aliya yang baru selesai menunaikan membersihkan diri. Lamunan Aliya terhenti. Segera dia menoleh teman rapatnya itu.

                “ Tak adalah. Pandai-pandai je kau ni,” balas Amna. Hakikat sebenar memang dia sedang memikirkan bekas teman lelakinya itu. Amna ditinggalkan kira-kira enam bulan yang lalu. Masih segar diingatannya, disaat dia berperang dengan peperiksaan akhir semester, bekas teman lelakinya menghantar khabar bahawa dia akan berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya. Ketika itu tidak ada sedikit usaha pun yang ditunjukkan oleh lelaki itu untuk mempertahankan cinta yang telah dibinanya bersama  Amna yang hampir berusia tiga tahun. Akhirnya Amna mengalah. Amna percaya mungkin ada yang lebih baik untuknya.

                “ Tak payah ingatlah lelaki macam tu, Amna. Ramai lagi menunggu kau kat luar sana. Kau je yang tak perasan,” sambung Aliya sambil tangannya pantas mengeringkan rambutnya yang basah. Aliya seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan kesihatan diri. Dua perkata ini sentiasa dipandang berat. Oleh itu, tidak hairanlah jika biliknya sentiasa bersih dan dia serta dua rakan sebiliknya jarang mendapat sebarang jangkitan penyakit.

                “ Thirah mana? Dari tadi tak nampak pun,” soal Amna, sengaja ingin mengubah topik perbualan mereka.

                “ Library. Siapkan assignment. Esok dah nak kena submit. Thirah kan suka buat assigment last minute,” jawab Aliya bersahaja. Tapi jika diperhatikan, memang benar kata-kata Aliya. Seorang lagi rakan sebilik mereka yang bernama Athirah gemar melakukan setiap tugasan disaat-saat akhir. Ini kerana Athirah seorang yang  agak aktif dengan program-program di fakulti. Tetapi walaupun begitu, Athirah merupaka seorang pelajar yang bijak. Sudah tiga kali dia tersenarai antara sepuluh orang pelajar yang mendapat pointer tertinggi setiap peperiksaan.

                “ Suka buat kerja last minute pun selalu dapat dean list. Thirah tu pakai bomoh ke?” gurau Amna. Mereka sama-sama ketawa. Tapi memang diakui, Aliya dan Amna masing-masing mengagumi kehebatan Athirah yang dianggap pelajar luar biasa itu.

                “ Kau tak lapar ke, Amna? Jom makan. Daripada pagi tadi aku tak makan, sibuk dengan kelas,”

                “ Nanti aku try call Thirah. Tanya dia dah makan ke belum. Boleh kita makan sekali,” cadang Amna. Pantas Aliya mengangguk setuju.

***
“ RAJIN betul best student kita ni,” usik Haziq tatkala bertemu dengan Athirah di perpustakaan. Mereka berdua agak rapat walaupun hanya berkenalan ketika sama-sama di universiti. Mungkin kerana Haziq juga merupaka salah seorang exco persatuan mahasiswa fakulti bersama-sama dengan Athirah.

                “ Kena lah rajin. Esok ada assignment submission,” jawab Athirah, ringkas. Jari-jemarinya masih panntas menekan papan kekunci komputer ribanya.

                “ Kau dari mana ni?” soal Athirah.
                “ Aku nak pulangkan buku. Baru perasan buku library bertimbun kat bilik aku. Sebab tu datang pulangkan,”

                “ Kau seorang je? Mana kawan kau yang lagi dua orang tu?”

                “ Diorang pergi main bola. Eh, sejak bila kau rajin tanya pasal kawan-kawan aku yang dua orang tu? Haaa, kau suka kat diorang ye?” Haziq tidak habis-habis mengusik. Athirah menghentikan kerjanya. Dia memandang Haziq dengan pandangan pelik.

                “ Tanya pun salah ke?”

                “ Tak ada lah salah. Tapi macam pelik lah. Kau suka kat siapa? Naufal atau Fitri? Dua-dua single lagi. Kalau kau nak, aku boleh tolong jd orang tengah,” semakin galak Haziq mengusik gadis itu. Tawa kecil kedengaran dihujung bicaranya.

                “ Ada hati nak jadi orang tengah, diri sendiri pun tak laku,” balas Athirah, selamba. Dia tersenyum sendiri. Seronok dapat membalas kata-kata Haziq.

                “ Bukan tak laku, aku memang jenis memilih,” Haziq tidak mahu mengalah. Akhirnya tawa mereka terhambur bersama.

                “ Eh, Thirah. Siapa nama kawan kau yang selalu dengan kau tu?” Haziq cuba mengumpan. Tatkala ini dia tiba-tiba teringat kepada Naufal yang dilihat selalu memerhatikan gadis yang selalu bersama Athirah.

                “ Yang mana satu?”

                “ Budak yang selalu pakai tudung lilit-lilit tu,”. Athirah mula berfikir. Mungkinkah Amna kerana Aliya hanya berpenampilan sederhana.
                “ Amna?”

                “ Yang selalu bawa fail warna merah?”. Athirah mengangguk. Athirah yakin, lelaki di hadapannya sedang bertanya tentang Amna.

                “ Apa nama penuh dia?”

                “ Amna Nazirah. Kenapa tanya-tanya ni? Kau berkenan dengan dia ke?” Athirah menduga. Dia senyum sinis.

                “ Eh, sorry sikit. Bukan aku, tapi kawan aku,” jawab Haziq, jujur.

                “ Kawan kau yang mana satu?” Athirah terus bertanya. Lagaknya seperti seorang penyiasat.

                “ Naufal,”

                “ Naufal? Budak bussiness tu?”. Haziq mengangguk tanda mengiyakan.

                “ So, kau nak aku jadi orang tengah ke?” soal Athirah. Mungkin Haziq ingin meminta bantuannya.

                “ Tak apa lah. Aku saja je nak tau pasal Amna tu. Biarlah si Naufal tu yang cakap sendiri,” jawab Haziq. Athirah mengangguk bersetuju.

                “ Satu lagi, kau suruh Naufal tu cepat sikit masuk jarum. Amna tu baru putus cinta. Mana tahu ada rezeki. Budak lawa macam tu berebut orang nak,” sempat Athirah memberikan kata-kata nasihat. Ini adalah maklumat berharga yang patut Haziq sampaikan kepada Naufal. Sekurang-kurangnya ini boleh membantu Naufal meluahkan rasa hatinya.

***

FITRI asyik memetik gitarnya. Lagu “Permaisuri” nyanyian asal kumpulan yang popular sekitan 1990-an, Indigo sering menjadi lagu pilihan mereka bertiga. Entah apa yang istimewa dengan lagu tersebut, hanya mereka yang tahu.           

“ Dah lima semester kita menyanyi lagu ni, permaisurinya tak ada juga,” ujar Fitri sengaja membuka topik perbualan.

                “ Dah kau tak cari, mana nak jumpa,” balas Naufal, bersahaja.

                “ Betul tu. Kau kena lah cari, Fitri. Kau ingat perempuan datang terbang melayang-layang kat kau?” sampuk Haziq. Sememangnya Haziq terkenal dengan sikap loyar buruknya.

                “ Siapalah nak kat aku ni? Bukannya handsome macam Aaron Aziz,” jawab Fitri, berjenaka. Jari-jemarinya masih memetik tali-tali gitarnya.

                “ Aaron Aziz tu pakai make-up tebal. Kalau kau pakai make-up tebal-tebal, lepas tu kau duduk sebelah Aaron Aziz. Silap-silap orang tak boleh beza mana satu kau, mana satu Aaron Aziz!”balas Naufal, sengaja mengusik sahabatnya. Haziq juga ketawa besar. Mana mungkin sahabatnya Fitri dapat disamakan dengan pelakon kacak dari Singapura itu.

                “ Hampeh betul korang! Terang-terang mengata aku!” ujar Fitri separa geram. Dia menolak perlahan dua orang sahabatnya dengan gitar yang ada ditangannya.

                “ Rilex la, Fitri. Gurau je. Alah, tak payah risau lah. Kita semua ada jodohnya. Cuma tak tahu dengan siapa je,” kata Naufal seolah-olah memujuk kembali Fitri.

                “ Betul tu. Macam Naufal dengan Amna,” ujar Haziq tiba-tiba.

                “ Amna? Siapa Amna?” soal Fitri, pelik. Tidak pernah dia mendengar nama gadis itu sebelum ini.

                “ Err.. Amna, budak akaun tu,” perlahan Naufal bersuara.

                “ Eh, kau tahu nama dia? Ni betul-betul stalker ni!” usik Haziq lagi. Naufal sedikit malu. Wajahnya berubah menjadi kemerah-merahan.

                “ Siapa Amna? Aku tak kenal pun,” Fitri masih lagi belum mendapatkan jawapan.

                “ Amna tu budak yang selalu Naufal usha. Dia kawan kepada kawan aku, Athirah. Budak Geologi. Kau kenal dia?”

                “ Yang selalu berkepit dengan Aliya exco anak Perak tu ke?” soal Fitri mendapatkan kepastian. Haziq mengangguk mengiyakan.

                “ Tapi Fal, aku baru dapat tahu si Amna tu baru putus cinta. So, kalau kau nak masuk jarum, aku rasa ni lah masanya,” Haziq terus beralih kepada Naufal yang tiba-tiba membisu dari tadi.

                “ Mana kau tahu?” soal Naufal, hairan. Pelik bila sahabatnya lebih tahu tentang gadis pujaannya berbanding dirinya sendiri.

                “ Kau ingat kau seorang boleh jadi stalker? Aku pun stalker juga!” jawab Haziq selamba.

                “ Kalau macam tu, apa lagi Fal? Just grab the chance and create the opportunity. Peluang Naufal, peluang!” kata Fitri. Naufal hanya diam. Dia hanya tersenyum. Tidak tahu harus berkata apa.

                “ Dah, tak payah nak senyum-senyum. Aku tengok kau ni pun makin lama makin parah. Esok-esok kalau kau jumpa dia, kau terus cakap nak berkawan. Lepas tu cakap aku suka kat dia. Okey?” ujar Haziq seolah seoranf ketua pasukan sedang memberi arahan kepada anak-anak buahnya.

***

AMNA, ATHIRAH DAN ALIYA masing-masing sibuk menyiapkan tugasan di perpustakaan. Masing-masing kelihatan asyik memandang skrin komputer riba masing-masing. Khusyuknya mereka sehingga tidak menyedari bahawa tiga lelaki sedang datang menghampiri meja mereka.

                “ Khusyuknya Thirah. Berkerut-kerut dahi nak siapkan assignment,” usik Haziq yang baru sampai disitu. Naufal dan Fitri berdiri di kiri dan kanan Haziq.

                “ Hai, siap ada body guard datang library. Dahsyat kau, Haziq,” sindir Athirah setelah melihat Naufal dan Fitri yang berdiri seperti pengawal keselamatan di sebelah Haziq. Aliya dan Amna turut sama memandang mereka.

                “ Eh, biasa lah. Thirah, kau kata nak tunjukkan aku buku yang Dr. Halim suruh cari tu. Jomlah kita cari sekarang,” ujar Haziq.

                “ Buku? Buku apa?” Athirah menyoal. Pelik. Setahunya dia tidak pernah berjanji apa-apa dengan lelaki itu.

                Haziq bermain isyarat mata dengan Athirah. Dia sengaja mengajak Athirah beredar dari situ agar Naufal boleh duduk berkenal-kenalan dengan Amna. Akhirnya Athirah memahami kehendak Haziq.

                “ Amna, aku nak ke belakang sekejap. Nak tunjukkan buku kat kawan aku ni. Nanti aku datang balik ye. Jom Liya,” pantas Athirah menarik tangan Aliya tetapi ditahan oleh Amna.

                “ Tapi kenapa nak bawa Liya?” soal Amna.

                “ Liya pun nak cari buku juga. Kan Liya kan?” Athirah cuba berdrama. Matanya bermain bahasa isyarat kepada Aliya. Akhirnya Aliya menangguk. Mereka berempat berlalu dan meninggalkan Naufal dan Amna di situ.

                “ Erm...boleh duduk?” Naufal memulakan bicara setelah rakan-rakannya yang lain meninggalkan mereka. Amna tersenyum lalu mempersilakan lelaki itu duduk.

                “ Err..Amna kan?” Naufal cuba memberanikan diri memulakan perbualan.

                “ Macam mana awak tahu nama saya?” soal Amna, pelik. Seingat Amna dia hanya pernah melihat lelaki yang berada di hadapannya itu tetapi belum pernah berbual bersama.

                “ Errr..kawan awak, Athirah tu kawan kepada kawan saya, Haziq. So, dia pernah bercerita tentang awak,”

                “ Really? Cerita tentang apa?” Amna menunjukkan minat ingin tahu. Lama-kelamaan perbualan mereka menjadi rancak. Dari satu topik ke satu topik dibincangkan. Naufal juga nampaknya tidak kekok untuk bercerita dan Amna pula merupakan pendengar yang setia. Oleh kerana mereka berdua berada dibawah fakulti yang sama, oleh itu ada juga perkara yang dapat dijadikan modal untuk dibualkan.

***

“AMNA, petang ni jom main badminton,” cadang Aliya. Dari tadi dia membelek raket Yonnex kesayangannya itu.

                “ Petang ni tak boleh lah, Liya. Aku ada hal dengan Naufal,” jawab Amna.

                “ Dating ye?” duga Aliya. Sengaja dia ingin melihat reaksi sahabatnya.

                “ Ish, tak ada lah. Naufal ajak keluar. Katanya nak beli buku,”

                “ Oh..okeylah kalau macam tu. Eh, Amna. Sejak bila kau rapat dengan dia ni ek?” Aliya cuba memancing lagi.

                “ Baru ni je. Dia selalu mesej-mesej aku. Seronok berkawan dengan dia,” jujur Amna. Senyuman juga terlukis dibibirnya.

                “ Kau suka dia ye?” pantas Aliya menyoal.

                “ Tak adalah. Kitorang kawan je lah. Kawan biasa-biasa. Macam kawan-kawan yang lain,”

                “ Yeke? Tapi kenapa dia tak ajak kawan-kawan dia temankan dia pergi beli buku tu? Kenapa dia ajak kau?” Aliya terus-terusan menyoal.

                “ Fitri ada latihan futsal. Haziq pula ada kelas sampai malam. So, dia ajaklah aku,” ringkas jawapan Amna. Aliya mengangguk faham.

                “ Kau nak ikut sekali?” pelawa Amna.

                “ Tak apalah. Aku malas nak bersiap lawa-lawa. Kau pergi je lah ye,” ujar Aliya. Dia tidak mahu mengganggu privasi sahabatnya.

                “ Betul? Kau tak nak pergi tengok-tengok buku? Aku dengar sekarang MPH tengah buat sale,” Amna cuba mengajak sekali lagi.

                “ Tak apa lah. Nanti aku pergi dengan Thirah. Dia cakap hari tu dia pun nak cari novel,”

                “ Okeylah kalau macam tu. Tapi kalau korang nak apa-apa, mesej aku je nanti ye,” pesan Amna. Aliya hanya mengangguk faham.

***

“SEJAK berkawan dengan Amna ni, susah betul aku nak tengok kau lekat kat bilik,” ujar Fitri tatkala melihat Naufal sedang bersiap-siap untuk keluar. Haziq yang turut berada disitu hanya memerhatikan.

                “ Mana ada. Kau ni pandai-pandai je,” Naufal menyangkal. Namun hatinya sering berbunga bila nama gadis pujaannya itu menjadi sebutan.

                “ Hari ni kau nak dating kat mana pula?” soal Fitri lagi.

                “ Bukan dating lah. Amna minta aku temankan dia survey laptop untuk adik dia. Pergi naik kereta, senang sikit daripada naik public transport,” jawab Naufal sambil menyarung T-shirt berjenama Jeep ke tubuhnya.

                “ Amboi, kalau Amna minta temankan survey laptop, cepat je kau ye! Kalau aku minta tolong kau hantarkan aku pergi mana-mana, bukan main banyak lagi alasan kau,” sindir Fitri. Naufal hanya ketawa.

                “ Eh, tapi kenapa dia tak ajak Thirah je? Thirah tu kan roomate dia. Thirah tu pun ada kereta juga,” soal Haziq yang tiba-tiba teringat kepada rakan fakultinya itu.

                “ Amna kata Thirah busy. Dia ada kerja kat luar. So, tak boleh temankan,” ringkas jawapan Naufal.

                “ Yelah tu. Betul-betul busy atau buat-buat busy?” Fitri tidak habis-habis mengusik.

                “ Dah alang-alang kau dah usung dia ke sana ke sini, kau dah bagitahu dia ke belum kau suka dia ni?” Haziq ingin tahu. Fitri juga turut sama memeberikan perhatian, tak sabar menunggu jawapan Naufal.

                “ Belum lagi. Aku tak berani lah, “ kata Naufal, jujur.

                “ Sampai bila? Baik cakap sebelum melepas. Nanti kau juga yang gigit jari,” Fitri menyampuk. Naufal hanya tersenyum. Tidak tahu harus berkata apa.

                “ Tak kisahlah, Fal. Yang penting kau jaga Amna tu baik-baik. Ni kau nak keluar bawa anak dara orang ni,” kata Haziq sekadar menasihati.

                “ Ye, aku tahu lah. Jangan risau, aku tahu lah nak jaga Amna tu,” jawab Naufal. Dia terus mencapai kunci kereta dan berlalu meninggalkan dua sahabatnya.

***

SETAHUN berlalu. Hubungan antara Amna dan Naufal masih berada di tahap yang sama. Tiada sebarang kata cinta yang diungkapkan oleh Naufal untuk meraih cinta gadis yang bernama Amna sedangkan Amna juga sebenarnya menunggu perkara yang sama. Namun, seperti apa yang pernah dikatakan oleh Athirah kepada Haziq, Amna sentiasa menjadi perhatian jejaka kerana keayuan wajahnya. Jika Naufal lambat untuk menambat hati Amna, alamatnya laluan Naufal untuk mendapatkan Amna semakin sukar.

                Baru-baru ini Amna mengkhabarkan kepada dua orang sahabatnya tentang seorang jejaka yang ingin berkenalan dan menjalinkan hubungan serius dengannya. Melihat kesungguhan lelaki itu, Amna bersetuju memberikan peluang kepada lelaki tersebut walaupun jauh di sudut hati sebenarnya dia menunggu Naufal untuk mengungkapkan kata cinta kepadanya terlebih dahulu. Namun, sikap berdiam diri Naufal menyebabkan Amna berasa seolah-olah dia hanya menanti buah yang tidak akan gugur.

                “ So, sekarang kau memang dah serius dengan Safwan tu?” soal Aliya ketika mereka bertiga  bersama-sama duduk semeja menikmati makan malam di cafe kolej kediaman. Amna hanya mengangguk. Senyuman terukir di bibirnya.

                “ Habis tu, macam mana dengan Naufal?” soal Aliya lagi.

                “ Kau tak ada apa-apa perasaan pada Naufal ke, Amna?” soal Athirah pula menginginkan kepastian.

                “ Aku dengan Naufal berkawan je. Lagipun Naufal tak cakap apa-apa pun kat aku. Dia tak pernah tunjuk pun yang dia suka kat aku,” jawab Amna. Aliya dan Athirah berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu hakikat sebenar bahawa sememangnya Naufal menyukai Amna.

                “ So, sekarang kau dengan Naufal macam mana? Dia tahu tentang kau dengan Safwan?” Aliya terus bertanya.

                “ Belum lagi. Nanti aku bagitahu dia,” ringkas jawapan Amna.

                “ Bagitahu dia cepat, Amna. Sebelum dia fikir apa-apa tentang yang tak baik tentang kau. Yelah, korang kan rapat. Nanti dia ingat kau jenis yang suka melayan lelaki pula,” kata Athirah. Sejujurnya dia tidak pelik apabila mendapat tahu Naufal gagal memiliki hati Amna kerana menurut cerita yang pernah diceritakan oleh Haziq, Naufal terlalu teragak-agak untuk meluahkan perasaannya. Jadi mungkin kerana sikap terlalu berhati-hati Naufal ini akhirnyanya menjerat dirinya sendiri.

***

“ SIAPA pula Safwan tu? Potong line betul lah!,” kata Haziq tatkala dia menerima khabar tentang lelaki itu daripada Athirah.

                “ Budak tahun akhir komunikasi media,” jawab Athirah.

                “ Kau tak bagitahu Naufal apa yang aku bagitahu kau dulu ke?” soal Athirah. Dia cuba mengingatkan Haziq kembali tentang apa yang pernah dikatakan tentang Amna yang selalu menjadi rebutan ramai suatu masa dahulu.

                “ Dah berbuih mulut aku bagitahu Naufal tu, tapi dia degil. Malu tak habis-habis,” omel Haziq. Athirah hanya mengeluh berat. Tidak tahu bagaimana ingin membantu lagi.

                “ Sembang apa ni? Bukan main lagi,” ujar Naufal yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Haziq dan Athirah sama-sama menoleh.

                “ Kau dari mana ni? Tiba-tiba je muncul,” soal Haziq. Soalan Naufal dibiarkan tanpa jawapan.

                “ Aku jumpa kawan aku kat kafe tadi. Eh, Thirah. Malam ni Amna free tak? Nak ajak dia keluar dinner,”. Berseri-seri wajah Naufal setiap kali dia berbicara tentang gadis kecil molek itu.

                “ Kalau tak silap Amna ada bagitahu dia ada janji dengan Safwan malam ni,” jawab Athirah, jujur.

                “ Safwan? Siapa Safwan?” soal Naufal, pelik. Wajah cerianya bertukar suram. Dia memandang wajah Athirah menantikan jawapan gadis itu.

                “ Boyfriend Amna. Diorang baru declare couple minggu lepas,” jawab Athirah lagi. Sejujurnya dia tidak sampai hati memberitahu Naufal tentang perkara ini, namun apa yang boleh dia lakukan lagi. Ini adalah kenyataan.

                “ Daripada dulu kitorang suruh kau cakap dengan Amna yang kau ada hati dengan dia. Dah setahun korang berkawan. Tapi kau degil. Kenyataannya sekarang, Amna dah ada orang lain. Aku tak tahu apa yang perlu aku cakap kat kau lagi. Aku harap kau sabar je lah ye,” ujar Haziq pula. Dia tahu perasaan Naufal yang sedang bergelodak di dalam dada sahabatnya itu namun itulah hakikat yang perlu dia lalui.

                “ Eh, tak apa lah. Aku okey je. Dah tak ada jodoh, nak buat macam mana?” kata Naufal cuba memujuk hati sendiri. Bibirnya mengukir senyuman paksa untuk menyembunyikan sedih yang sedang bertamu dihatinya. Amna gadis pertama yang berjaya mencuri hatinya, namun kini melepaskan Amna bukanlah perkara yang mudah bagi dirinya.

                “ Sabar ye, Naufal. InsyaAllah, kau akan jumpa yang lebih baik dari dia,” Athirah pula bersuara.

                Naufal hanya tersenyum. Untuk seketika dia merasakan lidahnya kelu untuk berkata-kata. Dia tahu ini semua salahnya. Jika dia mengikut nasihat sahabat-sahabatnya, pasti perkara seperti ini tidak akan terjadi.

***

KINI sudah dua tahun mereka meninggalkan zaman kampus. Masing-masing sudah berkerjaya. Meninggalkan kampus yang menjadi tempat persemadian kenangan-kenangan manis antara rakan-rakan seperjuangan bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan. Namun, cita-cita perlu terus diburu agar dapat menjamin kesejahteraan hidup pada masa akan datang.

                Majlis perkahwinan Amna dan Safwan berlangsung meriah. Kedua-dua mempelai mengenakan busana pengantin bertemakan warna putih dan merah menampakkan mereka sebagai pasangan yang sangat sepadan. Amna yang bergaun labuh bersalut manik-manik berwarna menarik serta bertudung menonjolkan lagi keayuan wajahnya.

                “ Selamat pengantin baru, Amna! Tak sangka antara kita, jodoh kau yang sampai dulu,” kata Aliya mereka bertemu.  Hadiah di tangan Aliya bertukar tangan.

                “ Selamat pengantin baru juga, Amna. Bestfriend aku dah jadi isteri orang!” ujar Athirah pula. Hadiah ditangannya juga dihulurkan kepada Amna.

                “ Terima kasih. Tak sangka korang sudi datang Melaka untuk majlis aku. Terima kasih sangat-sangat,” balas Amna. Dia terharu apabila rakan-rakannya sudi bertandang meraikan hari bahagianya.

                “ Selamat pengantin baru, Amna. Hidup dah berubah sekarang, dah jadi isteri orang,” ucap Haziq pula yang dari tadi sibuk dengan kamera DSLR Nikon kesayangannya merakam detik bersejarah bagi pasangan mempelai itu.

                “ Terima kasih, Haziq,”

                “ Selamat pengantin baru juga, Amna. Semoga jadi isteri yang solehah untuk Safwan,” giliran Fitri pula berbicara.

                “ Terima kasih, Fitri. Dengar cerita tak lama lagi giliran kau pula. Harap-harap jodoh kau dengan Husna kekal hingga ke jinjang pelamin,” balas Amna. Fitri hanya tersenyum. Ya, dia juga sedang menanti hari bahagianya. Hanya tinggal kira-kira lima bulan lagi dia bakal menamatkan zaman bujangnya bersama tunang tersayang, Husna yang merupakan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

                “ Tahniah, Amna. Semoga jadi isteri yang baik dan bidadari syurga untuk Safwan nanti,” ujar Naufal. Bibirnya tidak lekang daripada senyuman. Mungkin dia juga dapat merasai kebahagiaan dan keceriaan yang dilalui oleh wanita yang pernah ada dihatinya suatu ketika dahulu.

                “ Terima kasih, Naufal. Sudi juga datang majlis ni walaupun dari jauh,” ujar Amna, menghargai.

                “ Untuk Amna, walaupun Naufal ni ada kat Kutub Utara sekalipun, dia sanggup balik!” usik Fitri.

                “ Tu lah, orang suruh luahkan dulu, tak nak. Kan dah melepas,” sambung Haziq pula.

                “ Dulu tak berani. Tak sangka pula betul-betul melepas,” jawab Naufal, selamba. Hakikatnya wajahnya semakin kemerah-merahan bila diusik teman-temannya.

                “ Tu lah orang cakap, “Jangan tunggu lama-lama..nanti lama-lama..”,

                “ Dia diambil orang..!” Fitri, Athirah, dan Aliya sama-sama menyambung kata-kata Haziq. Semakin seronok mereka mengusik Naufal.

                “ Tak apa lah, Naufal. Bunga bukan sekuntum kan? InsyaAllah ada yang lebih baik yang menunggu,” kata Amna. Dia tersenyum. Naufal juga turut tersenyum.

                Kini masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Sibuk memikirkan soal kerjaya, jodoh dan keluarga. Namun sesibuk mana pun mereka, persahabatan yang dibina utuh tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja. 





p/s : Kalau suka, cakap suka..nanti melepas, padan muka! ;)