Tuesday 14 February 2012

CERPEN : Istikharah Cinta


DARI jauh, Rayyan asyik memerhatikan sekumpulan pelajar wanita yang sedang membuat perbincangan. Antara mereka, ada yang berjaya menambat hati lelaki itu. Safiyya, gadis yang terkenal bukan sahaja kerana kecantikan paras rupa tetapi juga kepintarannnya yang sentiasa mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Selain itu, sikap Safiyya yang sangat menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan juga menjadikan dia sebagai ikon bagi segelintir pelajar.

                “ Asyik tenung je, memang tak ke mana lah,” sapa Mahfuz, rakan sekuliah Rayyan. Dari tadi dia memerhatikan tingkah laku sahabatnya itu. Ternyata, pandangan mata sahabatnya langsung tidak beralih dari memandang gadis itu.

                “ Tenung je lah yang aku mampu, Mahfuz. Nak buat apa lagi?” jawab Rayyan. Tawa kecil kedengaran di hujung bicaranya. Sebenarnya dia malu apabila Mahfuz menegurnya. Nampak sangatlah yang dia sebenarnya asyik memandang gadis itu sehingga tidak sedar apa yang berlaku disekelilingnya.

                “ Safiyya tu budak baik, Rayyan. Beruntung siapa dapat dia kan?” kata Mahfuz lagi. Rayyan hanya tersenyum mengiyakan kata temannya. Memang benar, beruntung mana-mana lelaki yang dapat memiliki hati gadis sesolehah Safiyya.

                “ Rayyan, Prof. Idris nak jumpa kau. Katanya ada hal,” ujar Ammar yang entah dari mana muncul. Dia yang menggalas beg sandang dan membawa beberapa buku, mungkin baru selesai kelas.

                “ Nak jumpa aku? Kenapa?” soal Rayyan. Ammar sekadar mengangkat bahu.

                “ Pergilah, Rayyan. Aku tengok kau kat sini pun tak boleh buat kerja. Asyik tenung anak orang je,” sampuk Mahfuz, mengusik. Matanya tidak ralit memandang komputer riba dihadapannya.

                “ Anak orang? Haa...ada gosip ni!” ujar Ammar pula. Wajahnya teruja ingin tahu apa yang berlaku disitu sebenarnya.

                “ Kau ni Ammar, pantang tau. Macam wartawan Melodi,” jawab Rayyan.

                “ Kata exco publisiti persatuan fakulti. Kenalah cari cerita-cerita hot kan? Lagipun aku dengar budak-budak junior ada yang cakap muka kau iras-iras Remy Ishak. Aku nak tengok jugalah iras kat belah mana,” usik Ammar.

                “ Iras-iras Remy Ishak? Selama ni aku berkawan dengan artis rupanya. Macam mana aku boleh tak perasan ni?” Mahfuz menambah menggamatkan suasana.

                “ Banyaklah kau. Ada ke patut samakan aku dengan Remy Ishak. Sah-sah aku lagi macho dari dia,” ujar Rayyan, tidak mahu mengalah.

                “ Ewahhh, ada hati nak mengurat Tiz Zaqyah lah tu!” kata Ammar. Sememangnya antara mereka bertiga, Ammarlah yang paling kuat menyakat.

                “ Dah lah. Kalau melayan korang sampai esok pun tak habis. Aku pergi jumpa prof dulu,” Rayyan tidak mahu terus melayan kerenah sahabat-sahabatnya. Jika dilayan, entah bila akan berhenti.

***

“ PIHAK fakulti ingin mengadakan satu program untuk mahasiswa. Salah satunya forum remaja. Saya melantik awak untuk menjadi ketua pengarah bagi program ini,” Prof. Idris memberi arahan.

                “ Boleh saya tengok senarai ahli jawatankuasa saya, prof?” pinta Rayyan. Prof. Idris menghulurkan fail yang berisi senarai nama ahli jawatankuasa program. Pantas Rayyan menyambutnya.

                Satu persatu nama diteliti. Tiba-tiba matanya tertangkap pada nama ‘Safiyya Humaira’ yang bertindak sebagai setiausahanya. Dia sedikit tersenyum. Wajah pemilik nama itu terbayang di mindanya.

                “ Saya harap program ini akan berjalan lancar. Kalau ada masalah, awak terus hubungi saya. Saya harap tanggungjawab ini tak mengganggu pelajaran awak,” ujar Prof. Idris.

                “ InsyaAllah, Prof. Saya akan lakukannya dengan baik,” jawab Rayyan, yakin. Sebagai pelajar tahun akhir, dia perlu lebih fokus dengan pelajarannya. Namun dia yakin, dengan adanya Safiyyah bersama dengannya, dia berharap segalanya akan berjalan lebih lancar.

***
“ SETIAUSAHA program pula? Safiyya ni tak reti rehat ke? Asyik sibuk dengan program je,” rungut Zahidah, rakan sekuliah dan juga rakan sebilik Safiyya yang lebih tua setahun daripada Safiyya. Mereka merupakan dua orang sahabat yang sangat akrab.

                “ Dah tanggungjawab, kak. Nak buat macam mana?” jawab Safiyya, tenang. Dia sibuk menaip tugasan di komputer ribanya.

                “ Tak boleh tolak ke? Kalau masuk yang ini, ini program ke empat tau Safiyya sibuk dengan program besar. Akak takut pelajaran Safiyya terganggu,”

                “ InsyaAllah, tak kak. Setakat ni alhamdulillah assignment saya siap. Cuma lambat hantar sehari dua je. Tapi itu pun lepas aku maklumkan pada pensyarah tentang kesibukan saya dan alhamdulillah semuanya faham,” ujar Safiyya.

                “ Safiyya ni, kalau akak bercakap, ada je jawapanya. Eh, siapa ketua pengarah program ni?”

                “ Rayyan Hakimi,”

                “ Rayyan Hakimi? Rayyan yang Safiyya pernah cerita pada akak tu?”. Safiyya hanya mengangguk. Bibirnya juga mengukir senyuman.

                “ Patut lah,” jawab Zahidah. Kini dia pula tersenyum nakal.

    “Akak doakan program ni berjaya. Tapi ingat Safiyya. Jangan sampai pelajaran terganggu tau. Ini semester terakhir kita,” nasihat Zahidah.

                “ InsyaAllah, kak,”

***

MESYUARAT demi mesyuarat dilakukan demi memastikan perjalan program yang bakal dilaksanakan berjalan lancar. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Rayyan sendiri itu turut mempelihatkan kehadian Mahfuz dan Ammar sebagai sebahagian daripada ahli jawatankuasa.

                Selesai mesyuarat, masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing. Safiyya dan Farhana, teman sekuliahnya yang juga memegang jawatan di bahagian pemasaran melangkah menuju keluar dari bilik mesyuarat. Namun, satu suara memanggil nama Safiyya membuatkan gadis itu kembali semula.

                “ Saya nak minta awak siapkan surat-surat yang perlu untuk melancarkan kerja kita,” ujar Rayyan. Pandangannya dihalakan ke tempat lain bagi menjaga pandangan antara mereka.

                “ Okey. Ada apa-apa lagi yang perlu saya buat?” soal Safiyya. Lengan Farhana dipaut agar Farhana tidak meninggalkan mereka berdua disitu. Bimbang akan timbulnya fitnah antara mereka.

                “ Minit mesyuarat tadi saya minta awak taip semula. Saya nak tengok dan failkan dalam fail program,” arah Rayyan lagi.

                “ Baiklah. Ada apa-apa lagi?”

                “ Itu saja. Awak boleh pergi. Terima kasih Safiyya,” ujar Rayyan. Safiyya menjawab dan terus berlalu.

                Setelah Safiyya berlalu, baru dia berani mengangkat wajahnya. Jantungnya berdegup sangat kencang apabila berhadapan dengan gadis itu tadi.

                “ Bukan main pucat lagi nak bercakap dengan Safiyya. Nasib baik tak gugur jantung tu,” usik Mahfuz yang berdiri ditempat Safiya berdiri tadi. Ammar juga berada disitu. Rayyan memandang dan hanya tersenyum.

                “ Biasalah, Rayyan. Dah nama pun angau,” usik Ammar pula.

                “ Banyaklah korang. Tapi serius, aku rasa aku tak boleh kerja dengan dia. Hati aku rasa lain macam,” akui Rayyan. Dia berharap sahabatnya memahami apa yang sedang dia rasai ketika ini.

                “ Rayyan, ni semua ujian. Lagi-lagi pula kau memang ada hati pada Safiyya tu. Hati kau tak tenang sebab syaitan tengah bisik kat hati kau untuk buat kemungkaran. Banyakkan istighfar, Rayyan. Moga-moga hati kau tak terpesong ke arah yang salah,” nasihat Mahfuz. Dia cuba menenangkan sahabat baiknya.

                “ Memang susah nak didik hati, Rayyan. Ni semua cubaan untuk kau. Jangan risau, kitorang sentiasa ada dengan kau,” giliran Ammar pula memberikan kata-kata semangat. Rayyan tidak tahu harus berkata apa. Benar kata temannya, alangkah sukarnya mendidik hati.

***
PROGRAM yang dirancangkan hanya tinggal dua hari untuk dilaksanakan. Segala persiapan telah dilakukan sebaik yang mungkin. Kini, hanya menunggu hari berlangsungnya program. Apa lagi yang diharapkan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat selain program berjalan dengan lancar tanpa sebarang kecacatan.

                Safiyya sibuk menaip di bilik persatuan. Dia hanya bersendirian hari ini kerana  Farhana temannya yang selalu bersama dengannya menguruskan hal-hal berkaitan dengan pemasaran. Pintu bilik persatuan ditutup agar dia lebih selesa untuk melakukan tugasannya. Baginya, ada kala dia mahu melakukan kerja dalam keadaan tertutup. Jika pintu bilik terus dibuka, fokusnya sedikit sebanyak akan terganggu apabila pelajar-pelajar lain mahupun pensyarah lalu lalang di situ.

                Pintu bilik persatuan dibuka. Kelihatan Rayyan yang menjengah. Safiyya terkejut. Cepat-cepat dia membetulkan posisi kedudukannya agar lebih sopan.

                “ Opsss...maafkan saya. Saya tak perasan kasut awak kat luar ni. Ingatkan tak ada orang,” ujar Rayyan. Nada suaranya kelam kabut. Dia benar-benar meminta maaf. Entah bagaimana dia boleh terlepas pandang sandal biru kepunyaan gadis itu diluar.

                “ Err..tak apa. Awak nak masuk ke?” soal Safiyya. Jika Rayyan ingin masuk ke dalam, dia perlu keluar. Lokasi bilik persatuan agak terpencil. Jadi, dia tidak mahu ada fitnah yang terjadi antara mereka jika mereka berdua berada di dalam bilik yang sama.

                Rayyan hanya memandang Safiyya. Ketika ini jugalah dia merasakan kecantikan Safiyya terserlah. Dengan kaca mata tanpa bingkainya membuatkan penampilan gadis itu sangat menawan di mata Rayyan.

                “ Masuk je lah. Bukan ada orang pun. Bila lagi kau nak duduk berdua dengan dia?”. Satu suara bagaikan berbisik ke telinga Rayyan. Godaan syaitan tidak putus-putus menduga Rayyan. Ketika ini hanya iman yang dapat menjadi penyelamat. Jika kuat imannya, maka dapatlah Rayyan menangkis setiap godaan yang tiba. Jika sebaliknya, maka bersoraklah syaitan kerana berjaya membawa seorang lagi anak Adam ke lembah maksiat.

                “ Tak apalah. Awak siapkan kerja awak dulu. Nanti saya datang semula,” ujar Rayyan lantas berlalu dari situ. Jantungnya berdegup kencang. Dia harus akui, dia tidak boleh berhadapan dengan Safiyya. Dia dapat merasakan keganjilan dalam dirinya. Imannya jadi goyah. Dia tidak mahu terus-terusan begini. Dia tidak mahu wujudnya zina hati antara mereka dan yang lebih penting, dia tidak mahu Safiyyah juga menanggung dosa yang sama akibat perbuatannya.

***
SAFIYYA hanya duduk merenung jendela biliknya. Kelakuan Rayyan di bilik persatuan tadi kini terbayang-bayang di mindanya. Seperti dalam keadaan kelam kabut, lelaki itu meninggalkannya begitu sahaja. Tapi, bagus juga lelaki itu bertindak sedemikian. Jika tidak, terganggu segala tugasnya.

                “ Termenung ingat kat siapa ni, Safiyya?” sapa Zahidah yang baru pulang dari kuliahnya.

                “ Tak ada siapalah, kak. Saja berfikir,” ringkas jawapan Safiyya. Bibirnya mengukir senyuman manis untuk teman sebiliknya itu.

                “ Haa..fikir tentang siapa? Cuba cerita kat akak,” ujar Zahidah. Selesai menyalin pakaian dan menyusun buku-buku di atas meja belajarnya, dia duduk menghadap Safiyya.

                “ Akak, apa pendapat akak tentang lelaki yang betul-betul menjaga batas pergaulannya?” soal Safiyya.

                “ Eh, baguslah. Zaman sekarang bukan senang nak jumpa lelaki macam tu,”

                “ Salah ke kalau kita berharap untuk berjodoh dengan orang macam tu? Yelah, kita pun belum tentu layak dengan orang macam tu,” soal Safiyya lagi. Intonasi suaranya agak serius.

                “ Tak salah. Semua orang nak berjodoh dengan orang yang baik. Lebih-lebih lagi kita sebagai perempuan ni, kalau mencari biarlah yang kuat pegangan agamanya. Yelah, nak jadi imam dalam keluarga,”. Safiyya hanya diam. Tersenyum dengan jawapan Zahidah.

                “ Ni senyum-senyum ni mesti ada apa-apa. Siapa lelaki tu? Rayyan ye?” Zahidah cuba meneka. Senyuman nakal terukir dibibirnya.

                “ Akak ni, tak ada lah,” jawab Safiyya. Walaupun tepat tekaan rakan sebilknya itu, namun dia malu diusik begitu.

                “ Eleh, malu-malu pula. Akak bukannya baru kenal Safiyya. Walaupun baru sekali Safiyya bercerita tentang Rayyan tu, akak dapat rasa perasaan Safiyya pada Rayyan tu. Beruntung Rayyan,”

                “Ish, akak ni. Sampai ke situ pula,”

                “ Tak apa lah, Safiyya. Selagi termampu, kita berdoa. Kalau dia betul-betul terbaik untuk kita, mohon supaya Allah mudahkan segalanya. Kalau tak, mungkin ada hikmahnya yang kita sendiri tak tahu. Apa-apa pun, akak doakan yang terbaik untuk Safiyya,” nasihat Zahidah lagi. Dia kenal benar dengan Safiyya dan dia sentiasa berharap agar gadis secantik dan sesolehah Safiyya dipertemukan jodoh dengan orang-orang yang betul-betul layak untuknya.

***

TIBA hari yang dinantikan. Forum yang dirancang berjalan lancar sehingga ke akhir program. Sambutan dilihat sangat menggalakkan terutama sekali daripada warga kampus sendiri. Mungkin kerana faktor tajuk yang dibincangkan dan ahli-ahli panel yang dijemput dapat menarik perhatian penonton dari dalam mahupun luar kampus.

                Rayyan kelihatan begitu sibuk bersama dengan ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Begitu juga Safiyya. Sesekali Rayyan mencuri-curi pandang memerhatikan gadis itu yang sentiasa bersama dengan rakan-rakannya. Kededikasiannya terserlah. Itulah yang membuatkan hati Rayyan semakin terpaut. Namun, sejak insiden di bilik persatuan tempoh hari, mereka jarang berhubung. Rayyan meminta agar Mahfuz mahupun Ammar yang menjadi orang tengah antara mereka. Mungkin orang sekeliling akan beranggapan ini suatu keadaan yang aneh tapi dia tiada pilihan lain demi mengelakkan hatinya terus hanyut dengan bisikan-bisikan syaitan yang menggodanya untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan ditegah oleh agama.

                “ Safiyya, Rayyan minta awak siapkan laporan program secepat mungkin untuk disemak sebelum diserahkan kepada Prof. Idris. Kalau dah siap, awak tinggalkan di bilik persatuan je, nanti Rayyan akan tandatangan dan serahkan pada prof,” Ammar menyampaikan pesanan. Gadis itu hanya mengangguk faham. Matanya juga memandang sekeliling mencari tuan diri yang minta disampaikan pesanan tersebut, namun kelibatnya tidak dapat dikesan. Mungkin sibuk menguruskan hal-hal lain.

                Safiyya terfikir sesuatu. Mengapa sampai begitu sekali Rayyan mengelakkan diri daripadanya. Adakah dia telah melakukan kesilapan sehingga langsung lelaki itu tidak mahu berjumpa dengannya? Dia faham dengan sikap Rayyan yang sangat menjaga batas pergaulan tapi pernah juga dia terlihat Rayyan berurusan dengan ahli jawatankuasa perempuan yang lain. Dia semakin bingung. Jika ada salah dan silap, biarlah dia ditegur dengan cara yang baik, bukannya terus-terusan menjauhkan diri dan menggunakan orang tengah.

***
“ SAYA betul-betul tak boleh berhadapan dengan dia, prof. Kalau saya berjumpa dengan dia, saya rasa susah untuk kawal diri saya,” ujar Rayyan. Prof. Idris mendengar dengan penuh teliti luahan hati pelajarnya itu. Rayyan nekad untuk mendapatkan nasihat pensyarah yang paling rapat dengannya bagi meluahka apa yang dirasainya. Keresahan hatinya tidak dapat dibendung lagi. Mahfuz dan Ammar lah yang menasihatinya agar berjumpa dengan seseorang yang berkelayakan untuk membantu menyelesaikan masalahnya. Jika terus dibiarkan, dibimbangi masalahnya akan bertambah berat.

                “ Habis, bagaimana awak berurusan dengan dia sepanjang program berjalan? Safiyya tu setiausaha awak kan?” soal Prof. Idris.

                “ Saya minta Mahfuz ataupun Ammar untuk menjadi orang tengah antara kami. Hanya mereka yang tahu masalah saya ni,”

                “ Rayyan, boleh awak terus terang dengan saya. Apa sebenarnya perasaan awak pada Safiyya?”

                Rayyan hanya diam. Malu rasanya untuk mengakui perasaannya yang sebenar.

                “ Tak perlu malu, Rayyan. Luahkan saja apa sebenarnya perasaan awak pada dia,” ujar Prof. Idris.

                “ Err...sa..saya...saya sukakan dia, prof,” wajahnya tiba-tiba agak kepanasan. Wajahnya kemerah-merahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal dirinya dihadapan pensyarah yang sudah hampir 15 tahun berkhidmat di universiti itu.

                “ Awak sukakan dia atas dasar apa?” soal Prof. Idris lagi.

                “ Saya boleh rasa dia seorang gadis yang baik. Kesopanan dia menarik hati saya. Saya dapat rasakan sikap yang ada pada dirinya boleh menjadikan dia seorang isteri yang baik suatu hari nanti,” jujur Rayyan.

                “ Awak berniat untuk memperisterikan Safiyya?” Prof. Idris menyoal lagi. Kali ini Rayyan mati idea untuk menjawab. Ya, siapa yang tidak mahu memperisterikan wanita seistimewa Safiyya tetapi dalam keadaan dia yang masih belajar sekarang, sukar untuk dia menjawab pertanyaan pensyarahnya itu.

                “ Rayyan, tindakan awak menjauhkan diri daripada Safiyya adalah tindakan yang bijak. Awak bimbang jika akan wujudnya keadaan yang tidak sepatutnya berlaku antara awak dan Safiyya jika awak selalu ada bersama dengannya. Paling penting, awak berjaya mempertahankan hati awak daripada bisikan-bisikan syaitan yang selalu menggoda anak-anak Adam. Saya puji sikap awak,” ujar Prof. Idris. Rayyan mendengar dengan penuh teliti. Sedikit sebanyak hatinya lapang apabila mendengar pensyarahnya berkata begitu padanya.

                “ Hukum yang telah ditetapkan dalam Islam, haram bagi mana-mana lelaki yang menyunting wanita bukan untuk dijadikan isteri. Maksudnya disini, Islam menegah perbuatan menjadikan wanita itu pasangan tetapi tidak dijadikan sebagai isteri. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan yang mengundang kepada berlakukan zina. Hal ini sama juga dengan bercinta sebelum kahwin yang menjadi trend dalam masyarakat kita sekarang. Dan jika awak masih belum bersedia untuk ke peringkat perkahwinan, nasihat saya supaya awak lupakan sebentar soal Safiyya dan tumpukan pada pelajaran awak. Awak berdua pun berada di tahun akhir. Disamping itu, awak banyakkan berdoa agar didekatkan jodoh antara awak dan Safiyya. Andainya benar dia jodoh awak, mohonlah agar segalanya dipermudahkan. Jika sampai masanya awak lamarlah dia. InsyaAllah, perkara yang baik pasti akan dipermudahkan,”. Tekun Rayyan mendengar nasihat yang diberikan. Nasihat yang sangat-sangat berguna untuk dirinya. Hatinya kini sedikit tenang. Sekurang-kurangnya kegusaran yang kian bersarang dalam hatinya hampir terlerai setelah mendengar kata-kata nasihat daripada orang yang sentiasa menjadi sanjungannya itu.

                “ Terima kasih, prof. InsyaAllah, saya akan sentiasa mengingati nasihat prof,” ujar Rayyan. Senyuman mula terukir dibibirnya.

***

SETELAH berpenat lelah berusaha, kini hari yang dinanti-nantikan oleh semua mahasiswa dan mahasiswi. Majlis istiadat konvokesyen universiti. Wajah ceria ibu bapa melihat kejayaan anak-anak jelas terpancar. Anak-anak pula kelihatan sangat gembira menghadiahkan hadiah yang sangat bernilai kepada ibu bapa masing-masing sebagai tanda mengenang jasa dan membalas budi ibu bapa yang selama ini bersusah payah memberi pendidikan sejak kecil.

                Bagi mahasiswa dan mahasiswi pula, kesempatan ini juga diambil untuk merakamkan detik-detik manis bersama rakan seperjuangan. Selepas ini, semuanya akan membawa haluan masing-masing. Ada yang sibuk menguruskan kerjaya, ada juga yang sibuk menguruskan rumahtangga.

                “ Tahniah, awak semua. Saya bangga dengan kamu,” ujar Prof. Idris ketika mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas pelajarnya. Rayyan, Ammar, Mahfuz, Safiyya, Zahidah, Farhana dan rakan-rakan mereka yang lain juga ada disitu.  Wajah masing-masing jelas menunjukkan kegembiraan.

                “ Terima kasih, prof. Semua ilmu yang prof beri kami akan kenang sampai bila-bila,” ujar Rayyan. Jika dilihat, dialah insan yang paling gembira dalam kalangan mereka. Dia menerima anugerah Naib Canselor atas kejayaannya dalam akademik mahupun ko-kurikulum.

                “ Terima kasih juga, prof. Prof betul-betul berjasa kepada kami,” ujar Ammar pula.

                “ Sama-sama. Saya hanya menyampaikan apa yang sepatutnya saya sampaikan. Kamu yang berusaha. Kamu patut bangga dengan diri kamu sendiri. Betul tak, Rayyan?” kata Prof. Idris. Rayyan hanya tersenyum.

                “ So, lepas ni, apa perancangan kamu semua? Ada yang dah berniat nak kahwin?” soal Prof. Idris. Matanya memandang Rayyan. Bibirnya tersenyum. Memang soalan itu sebenarnya ditujukan kepada pelajarnya itu. Rayyan hanya tersenyum.

                “ Rayyan??” Prof. Idris bersuara lagi. Sengaja ingin melihat reaksi bekas pelajarnya. Rayyan tertunduk malu. Tidak tahu harus berbuat apa.

Safiyyah hanya memandang lelaki yang pernah mencuri hatinya itu. Sudah lama dia tidak mendengar khabar berita tentang lelaki yang sedang berdiri dihadapannya itu. Dalam fikirannya, mungkin lelaki itu sudah mempunyai pilihan sendiri.

“ Kalau awak dah bersedia, beranikan diri, Rayyan. Siapa tahu dia memang tertulis untuk awak,” Prof. Idris terus bermain teka teki. Masing-masing terpinga-pinga dengan kata-kata Prof. Idris itu. Apa yang cuba dia sampaikan? Hanya Rayyan yang mengerti.

Kini dia harus memberanikan diri. Setelah istikharah demi istikharah dilakukan, satu jawapan yang muncul. Dan dia sangat yakin itulah petunjuk yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Rayyan berjalan mendekati Safiyyah. Gadis itu hanya memadang Rayyan. Pelik dengan sikap lelaki itu yang tiba-tiba mendekatinya. Begitu juga rakan-rakannya yang lain. Tertanya-tanya apakah yang cuba dia lakukan. Hari ini, bersaksikan pensyarah dan rakan-rakan yang lain, dia akan cuba meluahkan hasrat hatinya.

“ Safiyya, dengan nama Allah dan bersaksikan Prof. Idris dan sahabat-sahabat yang ada disini, izinkan saya melamar awak untuk menjadi permaisuri dalam hidup saya,” ujar Rayyan tenang. Safiyya terkejut. Dia berasa bagaikan kakinya tidak menyentuh bumi. Berkali-kali dia mencubit kecik lengannya agar memastikan ini bukan mimpi. Dilamar oleh lelaki yang memang menjadi pujaan hatinya sejak dulu merupakan kenangan paling manis dalam hidupnya lebih-lebih lagi ia berlaku dihari graduasinya.

Teman-teman lain juga terkejut termasuk Mahfuz dan Ammar. Tidak menyangka Rayyan akan jadi seberani ini. Namun apa yang dilakukan oleh Rayyan adalah tindakan yang harus dipuji. Setelah sekian lama ‘terseksa’ dengan perasaan sendiri, hari ini terungkap juga apa yang selalu berada dihati dan fikirannya.

“ Safiyyah, sudikah awak menjadi isteri saya?” Rayyan melamar dengan penuh berani. Matanya menatap tepat ke arah anak mata gadis dihadapannya dengan harapan cinta dan kasihnya akan berbalas. Safiyya tersenyum. Tidak tahu harus bagaimana dia menterjemahkan kegembiraannya. Dalam keadaan tenang, dia menjawab lamaran Rayyan.

“ InsyaAllah, Rayyan. Saya sudi,”.

Berakhirlah kisah penantian cinta antara mereka. Dari sepasang pasangan yang sangat malu untuk meluahkan hasrat hati, akhirnya kini mereka bahagia sebagai pasangan suami isteri. Di dalam kehidupan, walau sesukar mana sesuatu ujian, jika selalu diiringi dengan doa, insyaAllah akan dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa.

               
p/s : Adaptasi daripada cerita sebenar. Tahniah kpd akh Razin dan ukht Sumaiyah yg bakal menimang cahaya mata sulung March depan. Kembar khabarnya. Indahnya cinta selepas berkahwin.... :)

No comments:

Post a Comment