Wednesday 4 January 2012

CERPEN : Cinta & Harapan



SUASANA petang agak mendung. Nuha hanya termenung memandang kearah air tasik yang tenang. Fikirannya kosong. Sejak ikatan pertunangannya putus, dia berubah menjadi seorang gadis pendiam. Sifat periangnya seakan-akan semakin hilang. Hilang bersama cerita duka yang diterbitkan oleh sang arjuna penghancur hatinya.

            “ Termenung lagi? Apa yang kau menungkan, Nuha?” sapa Ayu dari belakang. Nuha sedikit terkejut. Lamunannya terhenti.

            “ Kau teringatkan Aiman ke? Lupakan je lah, Nuha. Lelaki macam tu kau tak payah ingat lagi,” ujar Ayu lagi. Nuha hanya tersenyum, malas untuk mengambil pusing kata-kata sahabat baiknya itu. Tapi, jika difikirkan, memang benar apa yang dikatakan Ayu. Tiada gunanya dia membuang masa memikirkan soal lelaki bernama Aiman itu.

            Nuha dan Aiman mengikat tali pertunangan ketika Nuha menuntut di semester kedua pengajian. Aiman pula ketika itu dalam tahun ketiga pengajiannya di University of Hull, United Kingdom dalam bidang undang-undang. Mereka mengikat tali pertunangan atas dasar suka sama suka. Bila keluarga kedua-dua belah pihak telah memberi restu, perkara yang baik tidak elok ditangguhkan. Namun, panas yang diharapkan sampai ke petang hanya tinggal angan-angan. Secara tiba-tiba, Aiman berubah hati. Katanya, sayangnya tiada lagi pada Nuha. Alasannya cukup ringkas, hatinya kini terpaut rakan sekelasnya sendiri. Tatkala persiapan menjelang hari bahagianya sedang dilakukan, berita itu yang menerjah ketelinganya. Hancur luluh hati Nuha. Hanya Allah yang tahu perasaannya ketika itu. Kini, walaupun peristiwa itu hampir empat bulan berlalu, lukanya masih terasa. Namun, dia pasrah dengan apa yang telah ditakdirkan Allah untuknya. Mungkin Aiman memang lelaki sempurna, tapi bukan yang terbaik untuk dirinya.

            “ Kau dari mana ni, Ayu?” soal Nuha seolah-olah baru menyedari kehadiran temannya yang setia berdiri dibelakangnya sejak tadi.

            “ Dari mana lagi, fakulti lah. Aku nak sampaikan pesan. Faqih dan Izzat tunggu kau kat library pukul 5 nanti. Nak discuss pasal assigment subjek Prof. Ridzwan. Diorang call kau tadi, tapi tak dapat,”

            “ Bateri handphone aku habis. Tak sempat nak charge lagi,” jawab Nuha. Dia membelek-belek telefon bimbit Sony Ericsson kesayangannya itu.

            “ Handphone pun tak sempat nak charge? Hai, busy benar kau ni Nuha,” usik Ayu. Nuha hanya tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Dia senang bergurau dengan Ayu. Mereka saling mengenali. Dia tidak pernah terasa hati dengan usikan-usikan Ayu. Begitu juga sebaliknya.

***

“ KAU nak tahu, aku baru tahu cerita tentang Nuha putus tunang,” kata Izzat kepada Faqih yang berjalan seiringan menuju ke perpustakaan. Kedua-duanya nampak segak walaupun hanya berT-shirt dan berseluar slack serta menggalas beg belakang. Aura diri mereka sebagai mahasiswa kian menyerlah.

            “ Dengan anak dato’ tu?” soal Faqih. Dia memandang Izzat sepintas lalu. Izzat hanya mengangguk tanda mengiyakan.

            “ Anak dato’ dengan anak dato’ pun boleh putus kan? Nak kata tak sekufu, sekufu lah tu,” Izzat mengomel.

            “ Kalau sekufu pun, tapi dah tak ada jodoh. Nak buat macam mana?” balas Faqih bersahaja. Dia tahu Izzat juga bersahaja. Bukan sahabatnya itu tidak tahu tentang perkara mudah seperti itu. Lebih-lebih lagi Izzat merupakan pelajar lepasan Darul Quran. Lebih banyak lagi ilmu-ilmu agama yang dia lebih tahu.

            “ So, Faqih. Kau macam mana sekarang?” soal Izzat, menduga sahabatnya.

            “ Macam mana apa?” soal Faqih semula, tidak mengerti dengan soalan yang diajukan.
            “ Buat-buat tanya pula. Pasal Nuha lah,”

            “ Ish, kau ni. Apa kaitan aku dengan Nuha pula?” Faqih seakan tidak mengerti. Hakikatnya, dia berusaha menyembunyikan sesuatu daripada sahabat baiknya itu.

            “ Kau tak payah nak sembunyi dari aku lah, Faqih. Aku tahu kau masih ada hati pada Nuha kan?” Izzat berterus terang. Bibirnya mengukir senyuman nakal. Wajah Faqih agak kemerah-merahan menahan malu. Hatinya berdebar. Dia tidak menyangka sahabat baiknya dapat membaca isi hatinya.

            “ Aku tak layak untuk dia lah, Izzat. Kau tengok sendiri, kalau dia dengan Aiman yang sama-sama anak orang berada tu pun boleh putus, apatah lagi aku ni? Anak penjaga kantin sekolah je. Dia takkan pandang aku lah,” kata Faqih merendah diri. Memang diakui, Faqih sudah lama menyimpan perasaan terhadap Nuha. Mereka berdua telah lama berkenalan sejak zaman persekolahan lagi. Tetapi, apabila mengetahui Nuha bakal melangsungkan pertunangan dengan insan lain, sikap Faqih berubah. Seboleh-bolehnya dia cuba menjauhkan diri daripada gadis itu. Itu juga merupakan jalan terbaik untuk melindungi rasa kecewanya kerana tidak dapat memiliki hati Nuha. Tapi Faqih redha. Dia pasrah dengan ketentuan Illahi. Baginya, kebahagiaan Nuha adalah kebahagiaan dirinya dan sehingga kini dia masih belum menemui mana-mana wanita lain yang setanding Nuha.

            “ Kalau tak setaraf pun tapi memang dia jodoh kau, nak buat macam mana kan? Kau juga yang guna teori tu tadi. Harta tak menjanjikan apa-apa. Aku yakin, Nuha bukan wanita materialistik,” Izzat membalas. Faqih hanya diam. Tiada idea untuk membalas hujah sahabatnya.

            “ Faqih, tadi Naim SMS aku. Diorang ajak main futsal malam Ahad ni. Jom riadah sikit. Asyik belajar je, tak best juga,” pelawa Izzat.

            “ Tak bolehlah, Izzat. Aku nak balik rumah. Adik perempuan aku baru masuk sekolah asrama penuh. So, tak ada siapa nak tolong mak jaga aku kat rumah. Nak uruskan adik-adik aku yang lain lagi. Lagipun mak aku bukan sihat sangat. Sekarang selalu sakit-sakit. Lain kalilah ye, ” luah Faqih. Luahannya bukan untuk meminta simpati tapi berharap untuk dimengerti. Sejak ayahnya meninggal kira-kira 2 tahun lalu, dialah ketua keluarga. Setiap minggu dia akan pulang ke rumah menjenguk ibu dan adik-adiknya. Aktivitinya di universiti juga kini terbatas. Tapi baginya itu semua tidak menjadi masalah. Baginya, keluarga adalah segala-galanya.

            “ Tak apa, Faqih. Aku faham keadaan kau,” ringkas kata-kata Izzat. Dia menepuk perlahan bahu sahabatnya tanda memberi semangat. Faqih hanya tersenyum. Menghargai pengertian sahabatnya itu.

***

HARI berganti hari. Semakin hari jadual seharian sebagai mahasiswa semakin padat. Lebih-lebih lagi mereka yang kini berada di semester akhir pengajian. Waktu-waktu terluang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Dalam waktu-waktu genting seperti ini, disiplin diri  perlu ada agar dapat memastikan setiap masa tidak terbuang begitu sahaja. Peperiksaan akhir semakin hampir.

            “ Banyak kau pinjam buku dari perpustakaan. Ada assigment yang belum siap ke?” soal Nuha tatkala Ayu membawa lima buah buku berkaitan dengan subjek Fizik pulang ke bilik mereka.

            “ Satu lagi assigment aku tak siap lagi. Boleh pula terlepas pandang. Nasib baik ada masa lagi,” jawab Ayu. Dia menyusun buku-buku diatas meja lalu terus melakukan tugasan di komputer ribanya.

            “ Bila nak hantar?”

            “ Sebelum peperiksaan akhir,” ringkas jawapan Ayu.

            “ Ayu, dah nak exam ni, jom kita buat study group macam biasa. At least, bolehlah tukar-tukar pandangan. Kuliah pun bukannya majoriti faham,” Nuha memberi cadangan.

            “ Okey juga. Lagi-lagi subjek Prof. Dahlia. Sumpah, Nuha. Aku tak faham langsung!” kata Ayu bersungguh-sungguh.

            “ Okey, nanti kita janji dengan Faqih dan Izzat. Mintak diorang ajak ramai lagi,” sambung Nuha. Dia benar-benar berharap agar perbincangan kumpulan ini dapat dijalankan.

            “ Eh, cakap pasal Faqih, kau ada perasaan sesuatu yang lain tak pada dia?” soal Ayu, menimbulkan kemusykilan. Nuha mengerutkan dahi tanda tidak faham.

            “ Akhir-akhir ni susah betul nak jumpa dia. Yang aku perasan, dia dah jarang masuk kelas. Izzat pun selalu sendiri je. Selalunya kat mana ade Izzat, kat situ ada Faqih. Yelah, diorang kan “kembar”. Kau tak perasan ke?” jelas Ayu. Nuha diam memikirkan kebenaran kata-kata Ayu. Akhirnya dia mengangguk setuju dengan kata-kata Ayu tadi.

            “ Kau tak cuba tanya Izzat?” soal Nuha.

          “ Belum lagi. Tapi aku tetap nak tahu apa yang jadi sebenarnya. Kalau tak ada apa-apa, takkan Faqih sengaja ponteng kelas. Selalu sangat pula tu. Betul tak?”. Nuha hanya mengangguk setuju dengan kata-kata Ayu. Dia juga hairan dengan kelakuan Faqih sejak akhir-akhir ini. Sikap dan kelakuannya berubah secara tiba-tiba. Jika dulu mereka memang akrab. Ada saja cerita yang akan dikongsi bersama. Kini, segalanya berubah. Dia dapat merasakan seperti ada yang tidak kena dengan teman sekelasnya itu.

***

“ ENTAH lah, Ayu. Saya tak tahu apa-apa pasal Faqih ni. Betul!” kata Izzat bersungguh-sungguh tatkala Ayu bertanyakan soalan tentang Faqih ketika mereka bertemu selepas kuliah.

            “ Awak jangan nak sembunyikan apa-apa daripada kitorang ye. Mustahil awak tak tahu ke mana Faqih,” tegas Ayu. Nuha hanya memerhatikan gelagat Ayu dan Izzat.

            “ Nak sembunyi apa? Betul, saya tak tahu,” sekali lagi Izzat menidakkan. Dia memandang Ayu dan Nuha yang berada dihadapannya silih berganti. Dia berharap agar dua orang wanita itu mempercayai kata-katanya. Tidak ada sebab untuk dia berbohong.

            “ Awak ada cuba call Faqih tak?” giliran Nuha pula menyoal.

            “ Ada, tapi jarang dapat bercakap dengan dia. Selalunya kalau saya call, dia tak angkat telefon,”

            “ Kenapa?” pantas Nuha bertanya kembali. Ayu memerhatikan Izzat, tidak sabar untuk mendengar jawapan daripada lelaki itu.

            “ Tak tahu. Dia selalu cakap dia busy. Selalu kena balik rumah. Korang tahu kan yang mak dia tak sihat sekarang ni. Tapi kalau tentang masalah selalu ponteng kelas tu, saya pun tak pasti. Faqih selalu mengelak bila saya tanya perkara yang sama,”. Mereka bertiga saling berpandangan. Mereka dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh sahabat mereka itu.

            “ Mungkin kalau awak sendiri yang bertanya hal ni pada Faqih, dia akan beritahu apa masalah dia, Nuha,” ujar Izzat.

            “ Kenapa Nuha?” pantas Ayu menyoal. Nuha juga menunjukkan reaksi yang sama. Kenapa dirinya pula? Apa kaitannya?

            “ Saya tak pasti lah sama ada patut ke tak saya bagitahu kat korang berdua tentang hal ni,” Izzat seakan-akan bermain tarik tali.

            “ Awak tak perasan ke Nuha? Selama ni, Faqih sukakan awak. Sejak zaman sekolah lagi,” Izzat berterus terang. Nuha tekejut. Begitu juga Ayu. Mereka berharap agar Izzat tidak bergurau dengan perkara seperti ini.

            “ Tapi, kan sebelum ni Nuha pernah bertunang. Takkan Faqih masih ada perasaan pada Nuha lagi?” Ayu menduga. Mereka benar-benar inginkan penjelasan daripada lelaki bernama Izzat itu.

            “ Betul tu. Lagipun selama ni, dia tak pernah pun tunjukkan perasaan dia pada saya,” Nuha menambah.

            “ Perasaan Faqih pada awak tak pernah hilang, Nuha. Memang dah lama dia simpan perasaan ni. Dia hanya cerita pada saya je. Dia tak beritahu awak sebab dia malu. Awak anak orang kaya, sedangkan mak dia hanya penjaga kantin sekolah je. Dia takut kalau awak tak boleh terima dia. Lepas awak bertunang, Faqih cuba jauhkan diri dia daripada awak. Itu semua cara untuk dia sembunyikan perasaan kecewa dia, Nuha,” akhirnya Izzat meluahkan segala-galanya.

            Nuha hanya diam. Rupanya selama ini, insan yang selalu ada disisinya menaruh hati padanya. Sesungguhnya dia sendiri tidak pernah tahu tentang perasaan Faqih padanya. Faqih memang lelaki yang baik. Pernah juga Nuha jatuh hati dengan budi pekerti yang dimiliki oleh Faqih. Tetapi dia hanya mendiamkan sahaja kerana dia beranggapan Faqih menganggapnya seperti kawan biasa sahaja. Dan sekiranya Faqih memberitahu tentang perasaan hatinya pada Nuha, mungkin pertunangan antara Nuha dan Aiman tidak berlaku dan hatinya tidak akan terseksa dek kerana memiliki seorang tunang yang curang seperti Aiman.

            “ So, macam mana sekarang ni? Kita kena tahu apa masalah Faqih sekarang. Peperiksaan tinggal seminggu je lagi. Kalau boleh tolong, kita tolong dia. Ini semester terakhir kita. Kita tak nak seorang pun daripada kita ambil peperiksaan ulangan,” kata Ayu.

            “ Hujung minggu ni kita pergi ke rumah Faqih. Mungkin dari situ kita tahu apa masalah dia sebenarnya,” cadang Izzat pula. Ayu dan Nuha hanya mengangguk setuju.

***

SEMALAMAN Nuha tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya melayang memikirkan kata-kata Izzat petang tadi. Benarkah selama ini Faqih menyimpan perasaan terhadap dirinya? Kenapa dia langsung tidak peka dengan perasaan Faqih selama ini sedangkan sebagai seorang yang sangat-sangat rapat, boleh dikatakan setiap masa mereka bersama. Jika dia tahu terlebih awal tentang perasaan Faqih terlebih awal, mungkin episod luka dalam hidupnya tak akan berlaku.

            Nuha mencapai album gambar-gambar lama yang berada di dalam simpanannya. Gambar-gambar sejak zaman persekolahan masih tersimpan kemas. Gambar rakan-rakan sekelas menggamit memorinya. Baginya, zaman persekolahan adalah zaman yang sangat indah dan tidak mungkin mudah untuk dilupakan.

            Satu persatu wajah teman-temannya ditatap. Dia tersenyum sendiri bila terkenang kembali kisah persahabatan, kegembiraan dan kenakalan mereka semua. Tiba-tiba, matanya tertangkap pada gambar Faqih yang berdiri dibelakangnya. Jika diperhatikan, Faqih sering berdiri dibelakang atau berhampiran dengan Nuha. Mungkin itulah cara Faqih menunjukkan perasaannya kepada Nuha. Dia cuba merenung sedalam-dalamnya gambar lelaki itu. Faqih memiliki rupa paras yang agak menarik tapi seingat Nuha, dia tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana pelajar wanita. Mungkin kerana sikap dan perilaku Faqih yang pemalu dan agak menjaga batas pergaulan. Nuha agak terkilan, mengapa selama ini dia tidak pernah sedar tentang perasaan Faqih terhadapnya.

***

“ MACAM mana keadaan mak kau?” soal Izzat ketika dia bersama Nuha dan Ayu berkunjung ke rumah Faqih.

            “ Macam tu lah. Nak kata sihat, tak lah sihat sangat. Hari tu mak aku batuk berdarah. Tu yang aku risau tu,” jawab Faqih. Nadanya berbaur risau. Bimbang dengan kesihatan ibunya.

            “ Makcik dah suruh Faqih balik universiti tu tapi dia degil. Nak juga duduk rumah. Katanya nak jaga makcik. Makcik tak apa-apa. Ni sakit-sakit biasa je, sakit orang tua,” sampuk ibu Faqih yang muncul dari dapur membawa bersama dulang berisi tiga cakap teh o  panas dan sepinggan biskut kering. Nuha mengambil dulang yang dibawa ibu Faqih bagi memudahkan perjalanannya.

            “ Abang nak jaga mak sampai mak betul-betul sihat. Kalau mak tak sihat, macam mana abang nak belajar?” ujar Faqih. Dalam situasi sekarang, kesihatan ibunya yang menjadi keutamaan.

            “ Makcik Zakiah boleh tengok-tengokkan  mak. Abang pergilah balik universiti. Kalau ada apa-apa, nanti mak minta Makcik Zakiah telefon abang,”

            “ Mak nak tengok anak-anak mak berjaya. Abang tumpukan perhatian pada pelajaran abang. Tak payah risaukan sangat pasal mak. Mak tahu jaga diri mak,” ibu Faqih terus-terusan memujuk.

            Faqih diam. Tiada niat untuk membidas kata-kata ibunya. Dia tahu, walaupun dia berkeras untuk menjaga ibunya namun ibunya tetap dengan jawapan yang sama.

            “ Minggu depan dah mula final exam. Awak dah banyak kali tak datang kelas. Kitorang risau awak tak boleh catch-up apa yang lecturer ajar,” Ayu bersuara.

            “ Betul tu Faqih. Lagipun ni final semester kita, Faqih. Kalau boleh nak lah konvo sama-sama,” sambung Izzat pula.

            “ Mak aku macam mana?” Faqih masih lagi dibelenggu kerisauan.

            “ Kita sama-sama jaga. Kami pun risau tentang mak awak, Faqih. Tapi pelajaran ni soal masa depan awak. Mak awak nak sangat tengok awak berjaya. Awak tak nak tunjukkan kejayaan awak pada mak awak ke?” Nuha pula menyambung. Faqih memandang sahabat-sahabatnya. Ada juga benarnya kata-kata Nuha tadi. Kejayaan dirinya adalah cita-cita ibunya sejak dulu lagi. Lebih-lebih lagi dia sebagai anak yang sulung. Dia harus menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain.

            “ Abang baliklah dengan kawan-kawan abang ye. Tak payah risaukan mak. Jiran-jiran kita ada boleh tengok-tengokkan mak, Kalau ada apa-apa, mak mintak Makcik Zakiah telefon abang. Abang belajar je. Mak nak tengok anak-anak mak hidup senang suatu hari nanti,”. Faqih hanya membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi. Dalam fikirannya hanya ada rasa risau tentang kesihatan ibunya. Kalau diikutkan hati, biarlah dia tidak pulang ke kampus lagi demi menjaga ibunya. Dia berpegang kepada satu prinsip, kesenangan boleh dicari tapi ibu hanya satu dalam dunia!  

***

KINI sudah hampir empat tahun mereka menamatkan zaman kampus. Masing-masing sudah memiliki kerjaya dan hidup sendiri. Faqih memerhati potret ketika majlis graduasi dahulu. Potret yang diletakkan bersebelahan dengan potret perkahwinannya. Tidak jemu dia memandang walaupun sudah bertahun-tahun kenangan itu berlalu. Dan setiap kali dia merenung gambar-gambar itulah, dia akan tersenyum sendiri.

            “ Kenapa senyum-senyum ni? Tengok gambar siapa?” sapa Nuha yang muncul dari belakang Faqih. Dia hanya memerhatikan wajah suaminya yang masih lagi tersenyum sendiri itu.

            “ Gambar siapa lagi? Gambar orang yang paling cantik kat sebelah abang ni lah,” jawab Faqih. Dia mencuit hidung Nuha yang berdiri disebelahnya.

            “ Yelah tu,” balas Nuha, manja. Dia hanya tersenyum. Mereka adalah pasangan yang sangat romantik. Setiap hari ada saja usikan dari Faqih untuk Nuha untuk merapatkan lagi hubungan mereka suami isteri. Apatah lagi dalam keadaan Nuha yang sedang berbadan dua yang sangat-sangat memerlukan perhatian daripada suami tercinta.

            “ Nuha, terima kasih sebab jadi isteri abang. Terima kasih juga sebab beri abang zuriat,” ucap Faqih. Dia memandang tepat kearah anak mata isterinya. Dia ingin isterinya tahu bahawa sesungguhnya dia sangat beruntung kerana dapat memperisterikan Nuha, wanita yang dicintai dalam diam hampir sepuluh tahun.

            “ Terima kasih juga sebab terima lamaran, Nuha. Nuha tahu dan Nuha yakin, abang calon suami terbaik untuk Nuha dan ayah kepada anak-anak kita,” balas Nuha. Dia membalas renungan suaminya. Tanpa disedari airmata syukurnya berguguran. Dia memeluk suaminya seeratnya. Apa pun terjadi, biarlah hanya maut yang memisahkan mereka. 

            Kisah terbinanya baitul muslim antara Faqih Zafran dengan Nuha Zahirah sangat unik. Bermula apabila Nuha yang melamar Faqih untuk dijadikan suami. Kisah Saidatina Khadijah melamar Rasulullah s.a.w dijadikan panduan. Bukan harta dan rupa yang menjadi ukuran tetapi sikap Faqih yang baik, beriman, berbudi pekerti dan sangat bertanggungjawab kepada keluarga sehingga ibunya menghembuskan nafas yang terakhir menarik perhatian Nuha. Apatah lagi dikuatkan dengan khabar daripada Izzat yang mengatakan Faqih juga pernah menyimpan perasaan kepadanya meyakinkan Nuha agar melamar Faqih. Perkahwinan yang dibina adalah untuk mencari redha Allah dan semoga ini redha yang dicari selama ini.





            

3 comments:

  1. ~ baru berhajat nak baca.. tp panjang sgt le pulak.. esok lah bce.. wink2 ~

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete