SUASANA
petang agak mendung. Nuha hanya termenung memandang kearah air tasik yang
tenang. Fikirannya kosong. Sejak ikatan pertunangannya putus, dia berubah
menjadi seorang gadis pendiam. Sifat periangnya seakan-akan semakin hilang.
Hilang bersama cerita duka yang diterbitkan oleh sang arjuna penghancur
hatinya.
“ Termenung lagi? Apa yang kau
menungkan, Nuha?” sapa Ayu dari belakang. Nuha sedikit terkejut. Lamunannya
terhenti.
“ Kau teringatkan Aiman ke? Lupakan
je lah, Nuha. Lelaki macam tu kau tak payah ingat lagi,” ujar Ayu lagi. Nuha
hanya tersenyum, malas untuk mengambil pusing kata-kata sahabat baiknya itu.
Tapi, jika difikirkan, memang benar apa yang dikatakan Ayu. Tiada gunanya dia
membuang masa memikirkan soal lelaki bernama Aiman itu.
Nuha dan Aiman mengikat tali
pertunangan ketika Nuha menuntut di semester kedua pengajian. Aiman pula ketika
itu dalam tahun ketiga pengajiannya di University of Hull, United Kingdom dalam
bidang undang-undang. Mereka mengikat tali pertunangan atas dasar suka sama
suka. Bila keluarga kedua-dua belah pihak telah memberi restu, perkara yang
baik tidak elok ditangguhkan. Namun, panas yang diharapkan sampai ke petang
hanya tinggal angan-angan. Secara tiba-tiba, Aiman berubah hati. Katanya, sayangnya
tiada lagi pada Nuha. Alasannya cukup ringkas, hatinya kini terpaut rakan
sekelasnya sendiri. Tatkala persiapan menjelang hari bahagianya sedang
dilakukan, berita itu yang menerjah ketelinganya. Hancur luluh hati Nuha. Hanya
Allah yang tahu perasaannya ketika itu. Kini, walaupun peristiwa itu hampir
empat bulan berlalu, lukanya masih terasa. Namun, dia pasrah dengan apa yang
telah ditakdirkan Allah untuknya. Mungkin Aiman memang lelaki sempurna, tapi
bukan yang terbaik untuk dirinya.
“ Kau dari mana ni, Ayu?” soal Nuha seolah-olah
baru menyedari kehadiran temannya yang setia berdiri dibelakangnya sejak tadi.
“ Dari mana lagi, fakulti lah. Aku nak
sampaikan pesan. Faqih dan Izzat tunggu kau kat library pukul 5 nanti. Nak
discuss pasal assigment subjek Prof. Ridzwan. Diorang call kau tadi, tapi tak
dapat,”
“ Bateri handphone aku habis. Tak
sempat nak charge lagi,” jawab Nuha. Dia membelek-belek telefon bimbit Sony
Ericsson kesayangannya itu.
“ Handphone pun tak sempat nak
charge? Hai, busy benar kau ni Nuha,” usik Ayu. Nuha hanya tersenyum
menampakkan lesung pipitnya. Dia senang bergurau dengan Ayu. Mereka saling
mengenali. Dia tidak pernah terasa hati dengan usikan-usikan Ayu. Begitu juga
sebaliknya.
***
“ KAU
nak tahu, aku baru tahu cerita tentang Nuha putus tunang,” kata Izzat kepada
Faqih yang berjalan seiringan menuju ke perpustakaan. Kedua-duanya nampak segak
walaupun hanya berT-shirt dan berseluar slack serta menggalas beg belakang.
Aura diri mereka sebagai mahasiswa kian menyerlah.
“ Dengan anak dato’ tu?” soal Faqih.
Dia memandang Izzat sepintas lalu. Izzat hanya mengangguk tanda mengiyakan.
“ Anak dato’ dengan anak dato’ pun
boleh putus kan? Nak kata tak sekufu, sekufu lah tu,” Izzat mengomel.
“ Kalau sekufu pun, tapi dah tak ada
jodoh. Nak buat macam mana?” balas Faqih bersahaja. Dia tahu Izzat juga
bersahaja. Bukan sahabatnya itu tidak tahu tentang perkara mudah seperti itu.
Lebih-lebih lagi Izzat merupakan pelajar lepasan Darul Quran. Lebih banyak lagi
ilmu-ilmu agama yang dia lebih tahu.
“ So, Faqih. Kau macam mana
sekarang?” soal Izzat, menduga sahabatnya.
“ Macam mana apa?” soal Faqih
semula, tidak mengerti dengan soalan yang diajukan.
“ Buat-buat tanya pula. Pasal Nuha
lah,”
“ Ish, kau ni. Apa kaitan aku dengan
Nuha pula?” Faqih seakan tidak mengerti. Hakikatnya, dia berusaha
menyembunyikan sesuatu daripada sahabat baiknya itu.
“ Kau tak payah nak sembunyi dari
aku lah, Faqih. Aku tahu kau masih ada hati pada Nuha kan?” Izzat berterus
terang. Bibirnya mengukir senyuman nakal. Wajah Faqih agak kemerah-merahan
menahan malu. Hatinya berdebar. Dia tidak menyangka sahabat baiknya dapat membaca
isi hatinya.
“ Aku tak layak untuk dia lah,
Izzat. Kau tengok sendiri, kalau dia dengan Aiman yang sama-sama anak orang
berada tu pun boleh putus, apatah lagi aku ni? Anak penjaga kantin sekolah je.
Dia takkan pandang aku lah,” kata Faqih merendah diri. Memang diakui, Faqih
sudah lama menyimpan perasaan terhadap Nuha. Mereka berdua telah lama
berkenalan sejak zaman persekolahan lagi. Tetapi, apabila mengetahui Nuha bakal
melangsungkan pertunangan dengan insan lain, sikap Faqih berubah.
Seboleh-bolehnya dia cuba menjauhkan diri daripada gadis itu. Itu juga
merupakan jalan terbaik untuk melindungi rasa kecewanya kerana tidak dapat
memiliki hati Nuha. Tapi Faqih redha. Dia pasrah dengan ketentuan Illahi.
Baginya, kebahagiaan Nuha adalah kebahagiaan dirinya dan sehingga kini dia
masih belum menemui mana-mana wanita lain yang setanding Nuha.
“ Kalau tak setaraf pun tapi memang
dia jodoh kau, nak buat macam mana kan? Kau juga yang guna teori tu tadi. Harta
tak menjanjikan apa-apa. Aku yakin, Nuha bukan wanita materialistik,” Izzat
membalas. Faqih hanya diam. Tiada idea untuk membalas hujah sahabatnya.
“ Faqih, tadi Naim SMS aku. Diorang
ajak main futsal malam Ahad ni. Jom riadah sikit. Asyik belajar je, tak best
juga,” pelawa Izzat.
“ Tak bolehlah, Izzat. Aku nak balik
rumah. Adik perempuan aku baru masuk sekolah asrama penuh. So, tak ada siapa
nak tolong mak jaga aku kat rumah. Nak uruskan adik-adik aku yang lain lagi.
Lagipun mak aku bukan sihat sangat. Sekarang selalu sakit-sakit. Lain kalilah
ye, ” luah Faqih. Luahannya bukan untuk meminta simpati tapi berharap untuk
dimengerti. Sejak ayahnya meninggal kira-kira 2 tahun lalu, dialah ketua
keluarga. Setiap minggu dia akan pulang ke rumah menjenguk ibu dan
adik-adiknya. Aktivitinya di universiti juga kini terbatas. Tapi baginya itu
semua tidak menjadi masalah. Baginya, keluarga adalah segala-galanya.
“ Tak apa, Faqih. Aku faham keadaan
kau,” ringkas kata-kata Izzat. Dia menepuk perlahan bahu sahabatnya tanda
memberi semangat. Faqih hanya tersenyum. Menghargai pengertian sahabatnya itu.
***
HARI
berganti hari. Semakin hari jadual seharian sebagai mahasiswa semakin padat.
Lebih-lebih lagi mereka yang kini berada di semester akhir pengajian.
Waktu-waktu terluang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Dalam waktu-waktu
genting seperti ini, disiplin diri perlu
ada agar dapat memastikan setiap masa tidak terbuang begitu sahaja. Peperiksaan
akhir semakin hampir.
“ Banyak kau pinjam buku dari
perpustakaan. Ada assigment yang belum siap ke?” soal Nuha tatkala Ayu membawa
lima buah buku berkaitan dengan subjek Fizik pulang ke bilik mereka.
“ Satu lagi assigment aku tak siap
lagi. Boleh pula terlepas pandang. Nasib baik ada masa lagi,” jawab Ayu. Dia
menyusun buku-buku diatas meja lalu terus melakukan tugasan di komputer
ribanya.
“ Bila nak hantar?”
“ Sebelum peperiksaan akhir,”
ringkas jawapan Ayu.
“ Ayu, dah nak exam ni, jom kita
buat study group macam biasa. At least, bolehlah tukar-tukar pandangan. Kuliah
pun bukannya majoriti faham,” Nuha memberi cadangan.
“ Okey juga. Lagi-lagi subjek Prof.
Dahlia. Sumpah, Nuha. Aku tak faham langsung!” kata Ayu bersungguh-sungguh.
“ Okey, nanti kita janji dengan
Faqih dan Izzat. Mintak diorang ajak ramai lagi,” sambung Nuha. Dia benar-benar
berharap agar perbincangan kumpulan ini dapat dijalankan.
“ Eh, cakap pasal Faqih, kau ada
perasaan sesuatu yang lain tak pada dia?” soal Ayu, menimbulkan kemusykilan. Nuha
mengerutkan dahi tanda tidak faham.
“ Akhir-akhir ni susah betul nak
jumpa dia. Yang aku perasan, dia dah jarang masuk kelas. Izzat pun selalu
sendiri je. Selalunya kat mana ade Izzat, kat situ ada Faqih. Yelah, diorang
kan “kembar”. Kau tak perasan ke?” jelas Ayu. Nuha diam memikirkan kebenaran
kata-kata Ayu. Akhirnya dia mengangguk setuju dengan kata-kata Ayu tadi.
“ Kau tak cuba tanya Izzat?” soal
Nuha.
“ Belum lagi. Tapi aku tetap nak
tahu apa yang jadi sebenarnya. Kalau tak ada apa-apa, takkan Faqih sengaja
ponteng kelas. Selalu sangat pula tu. Betul tak?”. Nuha hanya mengangguk setuju
dengan kata-kata Ayu. Dia juga hairan dengan kelakuan Faqih sejak akhir-akhir
ini. Sikap dan kelakuannya berubah secara tiba-tiba. Jika dulu mereka memang
akrab. Ada saja cerita yang akan dikongsi bersama. Kini, segalanya berubah. Dia
dapat merasakan seperti ada yang tidak kena dengan teman sekelasnya itu.
***
“
ENTAH lah, Ayu. Saya tak tahu apa-apa pasal Faqih ni. Betul!” kata Izzat
bersungguh-sungguh tatkala Ayu bertanyakan soalan tentang Faqih ketika mereka
bertemu selepas kuliah.
“ Awak jangan nak sembunyikan
apa-apa daripada kitorang ye. Mustahil awak tak tahu ke mana Faqih,” tegas Ayu.
Nuha hanya memerhatikan gelagat Ayu dan Izzat.
“ Nak sembunyi apa? Betul, saya tak
tahu,” sekali lagi Izzat menidakkan. Dia memandang Ayu dan Nuha yang berada
dihadapannya silih berganti. Dia berharap agar dua orang wanita itu mempercayai
kata-katanya. Tidak ada sebab untuk dia berbohong.
“ Awak ada cuba call Faqih tak?” giliran
Nuha pula menyoal.
“ Ada, tapi jarang dapat bercakap
dengan dia. Selalunya kalau saya call, dia tak angkat telefon,”
“ Kenapa?” pantas Nuha bertanya
kembali. Ayu memerhatikan Izzat, tidak sabar untuk mendengar jawapan daripada
lelaki itu.
“ Tak tahu. Dia selalu cakap dia
busy. Selalu kena balik rumah. Korang tahu kan yang mak dia tak sihat sekarang
ni. Tapi kalau tentang masalah selalu ponteng kelas tu, saya pun tak pasti.
Faqih selalu mengelak bila saya tanya perkara yang sama,”. Mereka bertiga
saling berpandangan. Mereka dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh
sahabat mereka itu.
“ Mungkin kalau awak sendiri yang
bertanya hal ni pada Faqih, dia akan beritahu apa masalah dia, Nuha,” ujar
Izzat.
“ Kenapa Nuha?” pantas Ayu menyoal.
Nuha juga menunjukkan reaksi yang sama. Kenapa dirinya pula? Apa kaitannya?
“ Saya tak pasti lah sama ada patut
ke tak saya bagitahu kat korang berdua tentang hal ni,” Izzat seakan-akan
bermain tarik tali.
“ Awak tak perasan ke Nuha? Selama
ni, Faqih sukakan awak. Sejak zaman sekolah lagi,” Izzat berterus terang. Nuha
tekejut. Begitu juga Ayu. Mereka berharap agar Izzat tidak bergurau dengan
perkara seperti ini.
“ Tapi, kan sebelum ni Nuha pernah
bertunang. Takkan Faqih masih ada perasaan pada Nuha lagi?” Ayu menduga. Mereka
benar-benar inginkan penjelasan daripada lelaki bernama Izzat itu.
“ Betul tu. Lagipun selama ni, dia
tak pernah pun tunjukkan perasaan dia pada saya,” Nuha menambah.
“ Perasaan Faqih pada awak tak
pernah hilang, Nuha. Memang dah lama dia simpan perasaan ni. Dia hanya cerita
pada saya je. Dia tak beritahu awak sebab dia malu. Awak anak orang kaya,
sedangkan mak dia hanya penjaga kantin sekolah je. Dia takut kalau awak tak
boleh terima dia. Lepas awak bertunang, Faqih cuba jauhkan diri dia daripada
awak. Itu semua cara untuk dia sembunyikan perasaan kecewa dia, Nuha,” akhirnya
Izzat meluahkan segala-galanya.
Nuha hanya diam. Rupanya selama ini,
insan yang selalu ada disisinya menaruh hati padanya. Sesungguhnya dia sendiri
tidak pernah tahu tentang perasaan Faqih padanya. Faqih memang lelaki yang
baik. Pernah juga Nuha jatuh hati dengan budi pekerti yang dimiliki oleh Faqih.
Tetapi dia hanya mendiamkan sahaja kerana dia beranggapan Faqih menganggapnya
seperti kawan biasa sahaja. Dan sekiranya Faqih memberitahu tentang perasaan
hatinya pada Nuha, mungkin pertunangan antara Nuha dan Aiman tidak berlaku dan
hatinya tidak akan terseksa dek kerana memiliki seorang tunang yang curang
seperti Aiman.
“ So, macam mana sekarang ni? Kita kena
tahu apa masalah Faqih sekarang. Peperiksaan tinggal seminggu je lagi. Kalau
boleh tolong, kita tolong dia. Ini semester terakhir kita. Kita tak nak seorang
pun daripada kita ambil peperiksaan ulangan,” kata Ayu.
“ Hujung minggu ni kita pergi ke
rumah Faqih. Mungkin dari situ kita tahu apa masalah dia sebenarnya,” cadang
Izzat pula. Ayu dan Nuha hanya mengangguk setuju.
***
SEMALAMAN
Nuha tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya melayang memikirkan kata-kata
Izzat petang tadi. Benarkah selama ini Faqih menyimpan perasaan terhadap
dirinya? Kenapa dia langsung tidak peka dengan perasaan Faqih selama ini
sedangkan sebagai seorang yang sangat-sangat rapat, boleh dikatakan setiap masa
mereka bersama. Jika dia tahu terlebih awal tentang perasaan Faqih terlebih
awal, mungkin episod luka dalam hidupnya tak akan berlaku.
Nuha mencapai album gambar-gambar
lama yang berada di dalam simpanannya. Gambar-gambar sejak zaman persekolahan
masih tersimpan kemas. Gambar rakan-rakan sekelas menggamit memorinya. Baginya,
zaman persekolahan adalah zaman yang sangat indah dan tidak mungkin mudah untuk
dilupakan.
Satu persatu wajah teman-temannya
ditatap. Dia tersenyum sendiri bila terkenang kembali kisah persahabatan,
kegembiraan dan kenakalan mereka semua. Tiba-tiba, matanya tertangkap pada
gambar Faqih yang berdiri dibelakangnya. Jika diperhatikan, Faqih sering
berdiri dibelakang atau berhampiran dengan Nuha. Mungkin itulah cara Faqih
menunjukkan perasaannya kepada Nuha. Dia cuba merenung sedalam-dalamnya gambar
lelaki itu. Faqih memiliki rupa paras yang agak menarik tapi seingat Nuha, dia
tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana pelajar wanita. Mungkin kerana sikap
dan perilaku Faqih yang pemalu dan agak menjaga batas pergaulan. Nuha agak
terkilan, mengapa selama ini dia tidak pernah sedar tentang perasaan Faqih
terhadapnya.
***
“
MACAM mana keadaan mak kau?” soal Izzat ketika dia bersama Nuha dan Ayu
berkunjung ke rumah Faqih.
“ Macam tu lah. Nak kata sihat, tak
lah sihat sangat. Hari tu mak aku batuk berdarah. Tu yang aku risau tu,” jawab
Faqih. Nadanya berbaur risau. Bimbang dengan kesihatan ibunya.
“ Makcik dah suruh Faqih balik
universiti tu tapi dia degil. Nak juga duduk rumah. Katanya nak jaga makcik.
Makcik tak apa-apa. Ni sakit-sakit biasa je, sakit orang tua,” sampuk ibu Faqih
yang muncul dari dapur membawa bersama dulang berisi tiga cakap teh o panas dan sepinggan biskut kering. Nuha
mengambil dulang yang dibawa ibu Faqih bagi memudahkan perjalanannya.
“ Abang nak jaga mak sampai mak
betul-betul sihat. Kalau mak tak sihat, macam mana abang nak belajar?” ujar
Faqih. Dalam situasi sekarang, kesihatan ibunya yang menjadi keutamaan.
“ Makcik Zakiah boleh
tengok-tengokkan mak. Abang pergilah
balik universiti. Kalau ada apa-apa, nanti mak minta Makcik Zakiah telefon
abang,”
“ Mak nak tengok anak-anak mak
berjaya. Abang tumpukan perhatian pada pelajaran abang. Tak payah risaukan
sangat pasal mak. Mak tahu jaga diri mak,” ibu Faqih terus-terusan memujuk.
Faqih diam. Tiada niat untuk
membidas kata-kata ibunya. Dia tahu, walaupun dia berkeras untuk menjaga ibunya
namun ibunya tetap dengan jawapan yang sama.
“ Minggu depan dah mula final exam. Awak
dah banyak kali tak datang kelas. Kitorang risau awak tak boleh catch-up apa
yang lecturer ajar,” Ayu bersuara.
“ Betul tu Faqih. Lagipun ni final
semester kita, Faqih. Kalau boleh nak lah konvo sama-sama,” sambung Izzat pula.
“ Mak aku macam mana?” Faqih masih
lagi dibelenggu kerisauan.
“ Kita sama-sama jaga. Kami pun
risau tentang mak awak, Faqih. Tapi pelajaran ni soal masa depan awak. Mak awak
nak sangat tengok awak berjaya. Awak tak nak tunjukkan kejayaan awak pada mak
awak ke?” Nuha pula menyambung. Faqih memandang sahabat-sahabatnya. Ada juga
benarnya kata-kata Nuha tadi. Kejayaan dirinya adalah cita-cita ibunya sejak
dulu lagi. Lebih-lebih lagi dia sebagai anak yang sulung. Dia harus menjadi contoh
kepada adik-adiknya yang lain.
“ Abang baliklah dengan kawan-kawan
abang ye. Tak payah risaukan mak. Jiran-jiran kita ada boleh tengok-tengokkan
mak, Kalau ada apa-apa, mak mintak Makcik Zakiah telefon abang. Abang belajar
je. Mak nak tengok anak-anak mak hidup senang suatu hari nanti,”. Faqih hanya
membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi. Dalam fikirannya hanya ada
rasa risau tentang kesihatan ibunya. Kalau diikutkan hati, biarlah dia tidak
pulang ke kampus lagi demi menjaga ibunya. Dia berpegang kepada satu prinsip,
kesenangan boleh dicari tapi ibu hanya satu dalam dunia!
***
KINI
sudah hampir empat tahun mereka menamatkan zaman kampus. Masing-masing sudah
memiliki kerjaya dan hidup sendiri. Faqih memerhati potret ketika majlis
graduasi dahulu. Potret yang diletakkan bersebelahan dengan potret
perkahwinannya. Tidak jemu dia memandang walaupun sudah bertahun-tahun kenangan
itu berlalu. Dan setiap kali dia merenung gambar-gambar itulah, dia akan
tersenyum sendiri.
“ Kenapa senyum-senyum ni? Tengok
gambar siapa?” sapa Nuha yang muncul dari belakang Faqih. Dia hanya
memerhatikan wajah suaminya yang masih lagi tersenyum sendiri itu.
“ Gambar siapa lagi? Gambar orang
yang paling cantik kat sebelah abang ni lah,” jawab Faqih. Dia mencuit hidung
Nuha yang berdiri disebelahnya.
“ Yelah tu,” balas Nuha, manja. Dia
hanya tersenyum. Mereka adalah pasangan yang sangat romantik. Setiap hari ada
saja usikan dari Faqih untuk Nuha untuk merapatkan lagi hubungan mereka suami
isteri. Apatah lagi dalam keadaan Nuha yang sedang berbadan dua yang
sangat-sangat memerlukan perhatian daripada suami tercinta.
“ Nuha, terima kasih sebab jadi
isteri abang. Terima kasih juga sebab beri abang zuriat,” ucap Faqih. Dia
memandang tepat kearah anak mata isterinya. Dia ingin isterinya tahu bahawa
sesungguhnya dia sangat beruntung kerana dapat memperisterikan Nuha, wanita yang
dicintai dalam diam hampir sepuluh tahun.
“ Terima kasih juga sebab terima
lamaran, Nuha. Nuha tahu dan Nuha yakin, abang calon suami terbaik untuk Nuha
dan ayah kepada anak-anak kita,” balas Nuha. Dia membalas renungan suaminya.
Tanpa disedari airmata syukurnya berguguran. Dia memeluk suaminya seeratnya.
Apa pun terjadi, biarlah hanya maut yang memisahkan mereka.
Kisah terbinanya baitul muslim
antara Faqih Zafran dengan Nuha Zahirah sangat unik. Bermula apabila Nuha yang
melamar Faqih untuk dijadikan suami. Kisah Saidatina Khadijah melamar
Rasulullah s.a.w dijadikan panduan. Bukan harta dan rupa yang menjadi ukuran
tetapi sikap Faqih yang baik, beriman, berbudi pekerti dan sangat
bertanggungjawab kepada keluarga sehingga ibunya menghembuskan nafas yang
terakhir menarik perhatian Nuha. Apatah lagi dikuatkan dengan khabar daripada
Izzat yang mengatakan Faqih juga pernah menyimpan perasaan kepadanya meyakinkan
Nuha agar melamar Faqih. Perkahwinan yang dibina adalah untuk mencari redha
Allah dan semoga ini redha yang dicari selama ini.
~ baru berhajat nak baca.. tp panjang sgt le pulak.. esok lah bce.. wink2 ~
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletedah r..mcm ni r cousin....!!hahaha
ReplyDelete